Selasa, 9 April 2024 | 11:00am
Keluarga Diana dan Farid kembali meraikan Syawal bersama selepas berdepan krisis rumah tangga pada Aidilfitri tahun lalu. - Foto IG Diana Danielle
Keluarga Diana dan Farid kembali meraikan Syawal bersama selepas berdepan krisis rumah tangga pada Aidilfitri tahun lalu. - Foto IG Diana Danielle

Aidilfitri Diana, Farid kembali sempurna

KUALA LUMPUR: Andai sambutan Aidilfitri tahun lalu tidak lengkap, lantaran rumah tangga berantakan dan turun naik mahkamah, namun berbeza Syawal kali ini.

Ia tentunya menjadi momen cukup bermakna buat pasangan selebriti, Farid Kamil, 43, dan Diana Danielle, 33, serta dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 8.

Diana dan Farid memilih membuang ego masing-masing membolehkan keluarga kecil itu menikmati kemanisan Syawal bersama semula.

Sungguhpun begitu, pasangan yang pernah bercerai pada 10 Ogos tahun lalu, namun kembali rujuk pada bulan sama memilih untuk bersederhana dalam meraikan hari lebaran, tahun ini.

Bukan itu sahaja, Farid dan Diana sepakat menyambut 1 Syawal di kediaman sendiri di Kuala Lumpur tanpa pulang ke kampung halaman Farid di Alor Setar, Kedah sebagaimana lazimnya.

"Sejujurnya, kami sangat sibuk tahun ini. Buat kali pertama, kami bergandingan dalam filem sama berjudul Baran.

"Penggambaran untuk blok pertama berakhir sehari sebelum raya, jadi kami tiada banyak masa untuk melakukan persiapan raya.

"Apa yang lebih penting, kami dapat menjalankan ibadah puasa satu keluarga. Memandangkan kami sibuk, jadi Farid cadangkan kami beraya di Kuala Lumpur sahaja.

"Ini bukanlah kali pertama kami beraya di Kuala Lumpur. Sebelum ini, ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami pernah menyambut Syawal di sini sahaja," kata Diana kepada BH Online.

Diana dan Farid memilih meraikan 1 Syawal di ibu kota. - Foto IG Farid Kamil
Diana dan Farid memilih meraikan 1 Syawal di ibu kota. - Foto IG Farid Kamil

Bercerita mengenai juadah raya, Diana berkata, seperti orang lain juadah wajib di pagi raya seperti lemang dan rendang.

"Sudah tentu ada juadah pagi raya dimasak sendiri, manakala kuih raya pula hanya sempat beli.

"Biasanya, pagi raya kami akan makan yang ringan-ringan dahulu. Selepas balik solat Aidilfitri barulah kami menikmati juadah raya seperti rendang, lemang dan ketupat," katanya.

Sementara itu, Farid berkata, lazimnya mereka pulang ke kampung halaman di Kedah seminggu atau beberapa hari sebelum raya bagi mengelakkan tersangkut kesesakan lalu lintas, namun percaturan berbeza tahun ini.

"Anak-anak tak kisah menyambut raya di mana sahaja. Lagipun, ibu bapa saya akan datang ke Kuala Lumpur untuk beraya bersama saya dan adik-beradik lain.

"Percaturan agak berbeza kerana kami terbabit dengan penggambaran filem Baran. Jadi, kami sepakat berkumpul di Kuala Lumpur sahaja.

"Walaupun tanpa suasana kampung, raya tetap raya. Saya tak kisah asalkan dapat bersama keluarga, selain Diana mempunyai ramai sanak saudara di ibu kota.

"Jadi, akan tetap ada aktiviti kunjung mengunjung dan rumah terbuka pada hari raya," kata Farid.

Berita Harian X