Ahad, 7 April 2024 | 11:00am
Nabil enggan ambil peduli kecaman kerana tahu berada di pihak benar selepas merujuk nasihat yang diberikan dengan PU Amin. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Nabil enggan ambil peduli kecaman kerana tahu berada di pihak benar selepas merujuk nasihat yang diberikan dengan PU Amin. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Memaafkan ubati hati yang terluka' - Nabil

KUALA LUMPUR: Tak terdetik langsung dalam hati pengacara dan penyampai radio, Nabil Ahmad bersikap hati kering atau tidak cakna dengan penderitaan orang lain apabila didakwa memberi nasihat ikut sedap mulut dan tidak wajar.

Nabil berkata, tindakannya memberi nasihat kepada seorang pemanggil supaya memaafkan ibunya, meskipun wanita tersebut mengabaikan tanggungjawab berlandaskan kepada hukum agama dan perasaan hormat seorang anak terhadap orang tua.

Malah, kata Nabil, dia juga sudah merujuk perkara itu kepada pakar agama dan ternyata apa yang dilakukannya mendapat sokongan serta tidak menyalahi hukum agama.

"Saya faham perasaan pemanggil berkenaan. Sebagai anak, kalau tak mahu perasaan sedih, luka dan kecewa tak makan diri semula, salah satu caranya adalah memaafkan.

"Memaafkan tidak semestinya melupakan, kena ambil dari sudut atau perspektif agama.

"Saya juga ada rujuk perkara ini kepada pendakwah bebas, PU Amin dan dia menjawab untuk angkat darjat diri, syaratnya dengan memaafkan.

"Alhamdulillah, selepas mendengar penjelasannya adalah sedikit rasa lega," katanya ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro di sebuah hotel, baru-baru ini.

Nabil berkongsi usahanya membantu menceriakan Aidilfitri dengan salah seorang pemanggil yang mengalami kesempitan hidup. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Nabil berkongsi usahanya membantu menceriakan Aidilfitri dengan salah seorang pemanggil yang mengalami kesempitan hidup. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Meskipun dikecam bertubi-tubi gara-gara nasihatnya, namun Nabil berkata, dia enggan ambil peduli kerana tahu dia berada di pihak benar.

"Saya tak baca langsung komen negatif dalam media sosial dan tak nak ambil kisah. Asalkan tak menyalahi dari sudut agama, selain mendapat persetujuan ustaz, itu sudah memadai.

"Tapi kalau saya salah, mungkin saya akan hubungi semula pemanggil berkenaan dan minta maaf," ungkapnya.

Dalam perkembangan lain, Nabil berkongsi usahanya untuk membantu menceriakan Aidilfitri dengan salah seorang pemanggil yang menghubunginya.

Katanya, luahan pemanggil yang mengalami kesempitan hidup dan tidak mampu membuat persiapan Hari Raya menyentuh hatinya hingga tercetus idea untuk membantu.

"Paling menyedihkan bila mengadu tidak pernah ada kuih raya kerana tak mampu untuk buat persiapan disebabkan mereka baru sahaja berpindah ke Seremban dari Kuala Lumpur.

"Sebab utama pindah untuk kurangkan kos kehidupan. Suaminya bekerja di bazar Ramadan di Kuala Lumpur.

"Mendengar kisahnya yang menyayat hati, saya bersama Era FM dengan kerjasama Jakel akan membantu keluarga ini membeli baju raya.

"Selain itu, saya bersama penyampai lain akan berkongsi rezeki dengan keluarga wanita ini untuk selesaikan apa yang sepatutnya diselesaikan.

"Kalau kita rasa hidup susah, ingatlah ada orang yang lebih susah daripada kita," katanya yang meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan.

Berita Harian X