Ahad, 7 April 2024 | 8:30am
Neelofa juga mempunyai pengalaman silam, namun lebih selesa tidak berkongsi kisah peribadi dan keluarganya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Neelofa juga mempunyai pengalaman silam, namun lebih selesa tidak berkongsi kisah peribadi dan keluarganya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Kemaafan dendam terindah'

KUALA LUMPUR: Kesabaran dan ketenangan diri pengacara serta usahawan selebriti, Neelofa yang sedang menunaikan Rukun Islam ketiga diuji, baru-baru ini.

Tanpa diduga, pesanan ikhlas yang dititipkan Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor kepada seorang individu berhubung masalah keluarga dihadapi mengundang padah apabila dihukum dengan kecaman bertubi-tubi apabila ramai tak berpuas hati dengan nasihat diberikan.

Meskipun madu dibalas dengan tuba, namun wanita berjiwa kental itu tetap tenang menyusun kata-kata sebagai tanda kematangannya dalam berdepan kontroversi.

Neelofa berkata, tindakannya menasihati pemanggil wanita yang masih menyimpan dendam terhadap ibunya supaya memaafkan wanita itu dibuat berdasarkan pandangan agama dan adab seorang anak terhadap orang tuanya.

"Saya bukan ustazah atau orang yang layak untuk bercakap soal ini, tetapi apabila ia ada kaitan dengan soal emak dan ayah, ia subjek yang cukup besar di mata Allah.

"Dalam al-Quran sendiri Allah berpesan, meskipun ibu bapa melakukan perbuatan syirik, sebagai anak kita tidak harus taat, namun perlu berbuat baik tanpa meninggi suara atau bermasam muka.

"Dalam hidup ini, kita tak boleh memilih ibu bapa sendiri dan perlu terima seadanya. Bila ia ada kaitan dengan emak dan ayah, memang susah untuk dibawa berdebat.

"Malah, jika seorang ibu datang dengan penuh penyesalan dan bertaubat, sebagai anak tak salah memaafkannya, namun ikut kemampuan diri," katanya ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro di sebuah hotel, di Kelana Jaya, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Neelofa tetap merendah diri dan tidak menolak apa yang berlaku berpunca daripada kelemahan dirinya dalam menzahirkan pandangan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Neelofa tetap merendah diri dan tidak menolak apa yang berlaku berpunca daripada kelemahan dirinya dalam menzahirkan pandangan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Meskipun tegar mempertahankan pendiriannya, namun isteri kepada pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz itu tetap merendah diri dan tidak menolak apa yang berlaku berpunca daripada kelemahan dirinya dalam menzahirkan pandangan.

"Saya akui ketidaksempurnaan memberi pandangan dalam konteks yang menyeluruh. Saya hanya sentuh soal agama tanpa menyentuh aspek kesihatan mental.

"Saya juga tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberi penjelasan penuh mengenainya.

"Kepada mereka yang menyaksikan video, saya harap mereka faham situasi sebenar," luah bekas pengacara program Nona itu.

Mengulas dakwaan tidak mempunyai perasaan empati hanya kerana tidak melalui situasi dialami pemanggil, Neelofa meminta semua pihak supaya tidak lekas menghakimi dirinya dan menganggap perkara seperti itu tidak perlu dijadikan perbandingan.

Jelas Neelofa, dia juga mempunyai pengalaman silam, namun lebih selesa memilih tidak berkongsi butirannya.

"Tidak adil untuk seseorang menghakimi saya dan menganggap saya tidak pernah melalui situasi getir dalam hidup.

"Cuma, saya tak pernah kongsi apa yang berlaku terhadap orang tua saya. Saya datang daripada keluarga bercerai-berai.

"Meskipun tak pernah kongsi kisah ibu bapa, namun tak bererti kehidupan saya baik-baik sahaja.

"Kita lalui hidup ini dengan cara yang betul seperti apa yang sudah diajar," tuturnya.

Terdahulu, nama Neelofa menjadi bualan ramai kerana dianggap tidak mempunyai sifat empati terhadap seorang pemanggil yang masih menyimpan amarah terhadap wanita yang melahirkannya kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu hingga dia dan adik-adiknya membesar dalam keadaan serba kekurangan.

Berita Harian X