Jumaat, 5 April 2024 | 4:01pm
DJ Dave menyantuni artis veteran pada majis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan Aidilfitri pada program Santuni Insan Seni di Glenmarie, semalam. Foto Ihsan YKAT
DJ Dave menyantuni artis veteran pada majis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan Aidilfitri pada program Santuni Insan Seni di Glenmarie, semalam. Foto Ihsan YKAT

DJ Dave terkilan tak sempat tolong Allahyarham Jaafar Onn

SHAH ALAM: Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave, terkilan niat menghulur bantuan kepada pelakon dan pengacara veteran, Allahyarham Jaafar Onn tidak kesampaian.

DJ Dave bercadang menziarahi Allahyarham Jaafar, Rabu lalu, namun, mendapat berita sedih pemergian pelakon sitkom Cili Padi itu, pada hari sama.

"Saya hanya tahu arwah sakit beberapa hari sebelum meninggal dunia. Saya pulang dari Taipei, Selasa lalu dan merancang melawat arwah. Ketika di luar negara, saya sudah minta petugas masukkan nama arwah dalam senarai penerima bantuan Aidilfitri.

"Namun, belum sempat ke hospital, saya dapat berita arwah sudah pun pergi," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan Aidilfitri program Santuni Insan Seni di Glenmarie di sini, semalam.

Rabu lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Jaafar yang dilapor menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjalani prosedur endoskopi di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor.

DJ Dave berkata, pemergian Allahyarham Jaafar mengejutkan dan memberi kesan kepada dirinya.

"Arwah insan serba boleh. Beliau suka menghiburkan orang dengan gelak ketawanya. Setiap kali berjumpa dengannya, pasti seronok dengan karakter lucunya.

"Persatuan akan serahkan sumbangan kepada waris Allahyarham Jaafar, mungkin anak angkat arwah. Saya sudah lama tidak berjumpa arwah, lebih tiga tahun rasanya," katanya.

Pada majlis itu, DJ Dave menyerahkan sumbangan kepada 12 artis tanah air sempena Aidilfitri. Antara penerima adalah Uda Basri, Aisah @ Aishah Ibrabim, Rusnani Abd Hamid, Mazita Azizi, Khairol Idlan dan Azhar Hassan.

Berita Harian X