Jumaat, 5 April 2024 | 2:05pm
Fahmi (kanan) menziarahi Jamil (berkerusi roda) di kediaman pelakon dan pengarah terkenal era 1980-an itu di Puchong, hari ini. Foto NSTP Aiman Danial Mohd Hood Akhta
Fahmi (kanan) menziarahi Jamil (berkerusi roda) di kediaman pelakon dan pengarah terkenal era 1980-an itu di Puchong, hari ini. Foto NSTP Aiman Danial Mohd Hood Akhta

Proses pinda Akta FINAS 1981 mungkin ambil masa setahun

PUCHONG: Kementerian Komunikasi masih dalam proses meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 yang memfokuskan kebajikan pekerja dalam bidang perfileman.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kementerian dan FINAS masih dalam fasa perbincangan berhubung pindaan akta berkenaan dan mungkin mengambil masa kira-kira enam bulan hingga setahun.

"Kita sedang dalam proses buat pindaan kepada Akta FINAS dan berhasrat memasukkan beberapa aspek standard kontrak dalam pindaan berkenaan.

"Pada masa sama, saya minta Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Muttalib untuk meneliti sementara kita melalui proses itu

"Ini akan ambil masa mungkin lagi setengah tahun atau setahun. Tetapi, kontrak sedia ada kita perlu tambah baik untuk pastikan aspek keselamatan sosial bagi pekerja industri kreatif tidak diketepikan," katanya ditemui pada program Ziarah Seni Madani 2024 anjuran FINAS di kediaman pelakon dan pengarah M Jamil di sini, hari ini.

Sementara itu, Azmir berkata, pindaan Akta FINAS 1981 bertujuan memperkukuhkan lagi perbadanan itu dalam aspek digital dan teknologi masa hadapan.

"Kami sedang membuat beberapa penambahbaikan daripada sudut peraturan dan penguatkuasaan. Untuk standard kontrak ini berada di bawah peraturan lesen FINAS termasuk Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

"Dalam SPP itu nanti kita akan tambah beberapa syarat seperti memastikan setiap kru filem membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau insuran peribadi.

"Langkah proaktif ini dapat memastikan setiap produksi dalam lapangan ada insuran yang melindungi.

"Selain itu, ada penambahan akta di mana pelakon kanak-kanak perlu mendapatkan pernit kerja. Itu juga kami akan masukkan dalam permohonan SPP," katanya.

Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, pindaan Akta FINAS 1981 dan isu kebajikan pekerja dalam bidang perfileman menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi.

Berita Harian X