Khamis, 4 April 2024 | 6:01am
Bella berharap Aliff dan Ruhainies berhenti menutup penipuan dan mencari kesalahannya untuk melenyapkan kes khalwat mereka.
Bella berharap Aliff dan Ruhainies berhenti menutup penipuan dan mencari kesalahannya untuk melenyapkan kes khalwat mereka.

Aliff 'kantoi' kereta ada GPS, perakam dengar perbualan tak senonoh

BUKIT JELUTONG: Selepas berusaha menutup aib suami, Aliff Aziz dan rakannya, Ruhainies, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah akhirnya buka mulut dengan pendedahan demi pendedahan.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, mendakwa, dia tidak pernah menyangka sahabat baiknya mengkhianati dirinya dengan menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya.

Bella mendakwa, Aliff pernah ke rumah Ruhainies lebih lapan kali dan mempunyai bukti perbualan tidak baik mereka dalam kereta.

"Saya tak pernah kongsi, kereta yang Aliff guna adalah hadiah pemberian saya. Sebab kereta di bawah nama saya, jadi ada Sistem Pengesanan Global (GPS).

"Bukan saya pasang untuk perhatikan pergerakan Aliff, tapi saya percaya orang lain pun pasang takut kereta hilang.

"Aliff selalu tak balik rumah, tapi tak pernah saya kongsi dalam Instagram (IG). Saya mula perasan Aliff berubah selepas 'shooting' dengan Ruhainies.

"Rakan di lokasi juga cakap mereka merasakan Aliff dan Ruhainies ada sesuatu, tapi saya tak percaya sebab Ruhainies adalah kawan baik saya. Ada juga Ruhainies terlepas panggil Aliff 'baby'.

"Dia adalah sahabat yang sentiasa mendengar keluhan saya, kami pernah bercuti ke Korea Selatan dan duduk sebilik.

"Jadi, pada saya itu mustahil. Sebenarnya, adik dan kakak angkat ada menyatakan perkara sama dan merasakan ada sesuatu selepas melihat IG, tapi saya cakap tidak. Jangan berikan saya fikiran negatif," dakwanya.

BH Online masih berusaha mendapatkan reaksi Aliff dan Ruhainies terhadap dakwaan dibuat Bella.

Namun, Bella mendakwa, dia kuatkan semangat untuk buka GPS dan dari situ, mengetahui Aliff sebenarnya menipunya berkali-kali.

"Aliff pergi ke rumah Ruhainies di Pavilion Suite lebih lapan kali. Kalau nak tuduh saya perangkap, kenapa saya tak buat pada kali ketiga mereka di sana?

"Saya rasa lebih lapan kali Aliff dijejaki berada di sana. Jadi, bila saya mencari ibu Aliff sebenarnya saya mahu menyelamatkan Aliff daripada pergi ke rumah Ruhainies.

"Sebab saya tahu siapa di belakang Ruhainies. Siapa orang yang menjaganya. Saya tak mahu orang yang menjaganya simpan dendam dan sebagainya.

"Jadi, saya selalu takut bila Aliff tak balik rumah. Bila saya sudah mula sangsi dan nampak Aliff ke Pavilion Suite, saya telefon Ruhainies. Dia buat-buat terkejut.

"Ruhainies kata tak tahu, tapi bila saya lihat lokasi Aliff, mereka bersama. Dia juga tipu saya mengatakannya tinggal di Four Season.

"Kalau dia sahabat saya, kenapa nak menipu? Saya bukan sekadar cakap, tapi ada bukti," dakwanya.

Berikutan itu, Bella berharap Ruhainies dan Aliff berhenti menutup penipuan dan mencari kesalahannya untuk melenyapkan kes khalwat mereka.

"Sekiranya Ruhainies ingin menjatuhkan saya, percayalah kuasa Allah lebih besar daripada kuasanya.

"Orang juga boleh menilai, netizen sekarang bijak. Sebenarnya, saya nak simpan semua ini dan bercerai secara baik.

"Tapi, mereka tidak habis-habis dengan muat baik hantaran dalam laman sosial. Sedangkan aib yang saya simpan bertahun-tahun lagi besar. Tak mengapa di bulan Ramadan ini, Allah Maha Besar," katanya.

Bella tak pernah menyangka rakan baik, Ruhainies mengkhianati dirinya dengan menjalinkan hubungan sulit dengan suami, Aliff Aziz. - NSTP/Rohanis Shukri
Bella tak pernah menyangka rakan baik, Ruhainies mengkhianati dirinya dengan menjalinkan hubungan sulit dengan suami, Aliff Aziz. - NSTP/Rohanis Shukri

Bella percaya Ruhainies akan merasai seperti apa yang dilalui suatu masa nanti dan kebenaran juga akan terbukti.

"Kepada Ruhainies, awak jangan ingat itu adalah kali pertama Aliff datang ke rumah awak. Saya ada semua bukti.

"Saya pernah bincang dengan peguam dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), saya akan gunakan bukti ini di mahkamah.

"Kepada Ruhainies terima kasih banyak-banyak sebab awak, anak-anak saya kehilangan bapa. Terima kasih juga Aliff sanggup menipu untuk nampak awak tidak salah.

"Tapi, saya percaya salah tetap salah dan orang akan ingat sampai bila-bila kes khalwat ini.

"Antara Ruhainies dan Aliff juga ada perbualan tidak senonoh. Saya letak perakam dalam kereta, saya nak cakap pun malu, tapi mereka berbual perkara kurang baik.

"Jadi, jangan menidakkan sebab Ruhainies kata saya kawan baik, sekali pun saya tak pernah nampak mereka bermesej atau telefon," dakwanya.

Dalam masa sama, Bella turut mendedahkan Aliff pernah memohon bercerai pada 14 Februari lalu dan sekali lagi meluahkan keinginan sama pada 31 Mac lalu selepas selesai penggambaran drama.

"Aliff mengaku sudah tiada perasaan dan tak rasa apa-apa. Saya pelik kenapa tiba-tiba dan masa itu, saya memang tak tahu kewujudan Ruhainies. Saya merayu dan pujuk Aliff.

"Jujurnya, sepanjang menanti hari bercerai, saya bagaikan tiada semangat. Kemudiannya, Allah tunjukkan kes khalwat, rupanya itulah jawapan dan sebab Aliff tak balik rumah dan mahu bercerai.

"Kalau sekali curang mungkin kita anggap kesilapan dan boleh memaafkan kerana semua orang buat silap. Tapi, kalau sudah 11 kali curang, mahkamah syariah jawapannya," katanya.

Bella mendedahkan perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di K Town, Radia Gallery, di sini, semalam.

Sementara itu, Bella mengakui terkejut apabila ibu mentuanya, Siti Hafizah Basharahil bertindak 'unfollow' dalam Instagram (IG), sekali gus seolah-olah menyimpan perasaan dendam terhadapnya.

Bella mendakwa, ibu mentua yang disapa Umi turut memburukkan namanya seolah-olah Aliff berada di pihak benar.

"Maksudnya, pengorbanan saya selama 10 tahun ini hanya sia-sia bila Umi percaya Aliff dan Ruhainies hanya berkawan.

"Umi turut hubungi rakan sekolah Aliff untuk memburukkan saya. Saya kenal mereka ketika bercinta dengan Aliff dan percaya mereka boleh menilai apa yang saya lalui.

"Rakan-rakan beritahu Umi tiba-tiba hubungi mereka dan nak datang ke rumah hanya untuk mengaibkan saya.

"Bayangkan orang yang sentiasa mengeluarkan ayat-ayat Islamik dan saya hormat, boleh mengutuk saya.

"Dia boleh cakap, 'nak kata Bella penyanyi hebat tidak juga, pelakon hebat pun tak juga'. Apa salah saya sampai perlu cakap seperti itu sedangkan saya jaga Aliff selama 10 tahun," dakwa Bella.

Berita Harian X