Rabu, 3 April 2024 | 5:34pm
Salwa mendedahkan sikap arwah Jaafar suka bersedekah dan beri makan anak-anak yatim. - Foto IG Jaafar Onn
Salwa mendedahkan sikap arwah Jaafar suka bersedekah dan beri makan anak-anak yatim. - Foto IG Jaafar Onn

Jaafar beri petanda pergi buat selamanya - Salwa

SERDANG: Penyanyi era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman mendedahkan perwatakan Allahyarham Jaafar Onn agak berbeza ketika mengadakan persembahan di Plaza Masalam, Shah Alam, Sabtu lalu.

Salwa berkata, arwah tidak ceria, sekali gus beri petanda akan pergi buat selama-lamanya.

"Kenangan terakhir dengan arwah ketika buat persembahan di Plaza Masalam, Shah Alam, Sabtu lalu.

"Saya sudah beritahu arwah tak perlu datang, tetapi dia mahu juga datang dan menyanyi dengan saya.

"Pada hari itu, saya lihat arwah tidak seperti kebiasaannya, nampak lain sangat. Arwah tidak menyanyi dan berborak seperti sebelum ini.

"Daripada situ, saya dapat agak arwah seperti sudah tak lama jika dilihat penyakit dihidapi," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, hari ini.

Salwa berkata, dia merasakan arwah seperti hilang semangat selepas pemergian beberapa rakan baiknya.

"Kehilangan beberapa rakan baik sangat memberi kesan. Mungkin arwah rasa lemah semangat selepas Allahyarham Rohana Jalil meninggal dunia. Kita tahu mereka sangat rapat.

"Saya nampak semangat arwah sudah berkurangan. Arwah tak beritahu, tetapi sebagai kawan saya nampak semangatnya hilang selepas arwah Rohana meninggal dunia," katanya.

Salwa turut mendedahkan sikap arwah suka bersedekah dan memberi makan anak-anak yatim.

"Arwah ada cakap semoga sambutan hari raya, tahun ini akan lebih bermakna lagi. Ada juga saya ajak arwah datang ke rumah pada malam raya, nak pulang ke Muar agak jauh. Arwah cakap insya-Allah.

"Arwah suka bersedekah dan beri makan anak-anak yatim. Siapa yang kenalnya, arwah memang pentingkan soal makanan, malah dengan saya pun arwah selalu tanya sudah makan ke belum," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Jaafar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham diurus di Hospital Sultan Iris Shah Serdang sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Tanjung Ganding, Muar, Johor untuk disemadikan selepas solat Tarawih, malam ini.

Berita Harian X