Rabu, 3 April 2024 | 5:31pm
Haiza berkongsi foto detik pertemuan bersama Allahyarham Jaafar ketika hayatnya di hospital, melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Haiza Hanafi
Haiza berkongsi foto detik pertemuan bersama Allahyarham Jaafar ketika hayatnya di hospital, melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Haiza Hanafi

Papa mahu kerusi urut - Haiza

SERDANG: Penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi mendedahkan kerusi urut menjadi permintaan terakhir teman baik, Allahyarham Jaafar Onn, 73, sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (HSISS), di sini pada jam 11.32 pagi tadi.

Bagaimanapun, Haiza memberitahu, permintaan Allahyarham Jaafar tidak dituruti selepas mendapati kerusi urut tidak sesuai digunakan melalui perbincangan dengan anak angkatnya, Mohd Hanif Mohd Hashim serta beberapa rakan selebriti.

"Arwah beritahu mahukan kerusi urut untuk baring dan rehat dengan selesa. Tetapi, saya rujuk dengan anak angkatnya, Hanif.

"Saya juga bertanya pendapat rakan artis lain antaranya Datin Salwa Abdul Rahman, Ismaliza dan Rina Eva dalam kumpulan WhatsApp kami.

"Mereka cakap kerusi urut tidak sesuai untuk arwah kerana alat itu mencengkam tapak kaki di mana air bisa sudah mula keluar dari bahagian itu," katanya ditemui di HSISS di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Haiza berkata, teman-teman memberi sumbangan kepada arwah dengan menukarkan kerusi urut kepada wang tunai.

"Apabila diputuskan kerusi urut tidak sesuai, saya hubungi rakan untuk minta izin keluarkan tunai untuk diserah kepada arwah.

"Dengan izin kawan-kawan yang sudah menderma, semua wang dikumpul sudah dimasukkan ke dalam akaun arwah," katanya.

Terdahulu pemergian Allahyarham Jaafar atau nama sebenar, Jaafar Onn Awang, 73, pada jam 11.32 pagi, disahkan Hanif.

Allahyarham Jaafar dibawa ke Masjid Jamek Al Firdaus Tanjung Gading, Muar, Johor dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran selepas solat tarawih, malam ini.

Berita Harian X