Rabu, 3 April 2024 | 3:33pm
Tam berkongsi foto kenangan bersama Allahyarham Jaafar yang dianggap seperti bapanya sendiri melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Tam Suhaimi
Tam berkongsi foto kenangan bersama Allahyarham Jaafar yang dianggap seperti bapanya sendiri melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Tam Suhaimi

Tam hilang Papa tersayang

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Tam Suhaimi, 44, terkilan tidak sempat menziarahi artis veteran, Allahyarham Jaafar Onn yang menghembuskan nafas terakhirnya, hari ini.

Tam atau nama sebenar, Nor Azemi Suhaimi sepatutnya melawat Allahyarham Jaafar yang dipanggil Papa, kelmarin, namun, tidak sempat berikutan komitmen kerja.

"Saya dengar arwah tidak sihat. Saya sangka perkara itu normal atas faktor usia.

"Bagaimanapun, selepas dihubungi TV9 yang meminta saya berkongsi kisah mengenai Papa dan minta saya mendoakan kesejahteraan Papa, saya jadi terkejut.

"Ditambah selepas melihat foto arwah berkerusi roda dengan tubuh yang menyusut, baru saya sedar arwah tidak sihat.

"Ikut perancangan, saya hendak ziarah Papa awal minggu ini, namun, hajat tak kesampaian disebabkan kerja.

"Perkara itulah yang membuatkan saya ralat kerana tidak dapat berjumpa arwah ketika hayatnya masih ada," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai sisi peribadi arwah, Tam yang mula mengenali Jaafar ketika berusia 12 tahun menyifatkan bintang legenda itu seperti bapa buatnya.

"Kami mula berkenalan ketika sama-sama berlakon telefilem Lela Manja arahan Datuk Rosnani Jamil.

"Kami kemudian bertemu di set penggambaran telefilem Cili Padi sebelum diteruskan menjadi drama bersiri.

"Sebagai pelakon cilik ketika itu, saya sangat kagum dengan bakat arwah. Papa sering membawa keceriaan di set penggambaran.

"Arwah ada sifat kebapaan kerana sepanjang berada di set penggambaran, dia menjaga saya dan dua pelakon cilik lain dengan begitu baik sekali," katanya.

Allahyarham Jaafar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham diurus di Hospital Sultan Iris Shah Serdang sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Tanjung Ganding, Muar, Johor untuk disemadikan.

Berita Harian X