Rabu, 3 April 2024 | 2:27pm
Zed (kanan) sempat menziarahi Allahyarham Jaafar ketika hayatnya bersama AJK SENIMAN dan wakil FINAS di kediaman bintang serba boleh itu di Cheras, baru-baru ini. Foto Ihsan @mapimoffical dan FINAS
Zed (kanan) sempat menziarahi Allahyarham Jaafar ketika hayatnya bersama AJK SENIMAN dan wakil FINAS di kediaman bintang serba boleh itu di Cheras, baru-baru ini. Foto Ihsan @mapimoffical dan FINAS

Pemergian Papa kehilangan besar kepada industri seni - Zed Zaidi

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menyifatkan pemergian artis serba boleh, Allahyarham Jaafar Onn sebagai kehilangan besar kepada dunia seni.

Zed berkata, bakat besar dimiliki Allahyarham Jaafar serta pembabitannya dalam pelbagai cabang seni membuatkan kehilangan sosok itu amat dirasai.

"Suatu kehilangan besar buat industri seni kerana arwah sudah boleh dianggap sebagai artis legenda.

"Selain aktif berlakon dan ada drama bersiri popular seperti Cili Padi di mana kebanyakan pelakonnya sudah dewasa, arwah Papa adalah penghibur apabila menjadi hos untuk mana-mana acara.

"Apabila individu seperti ini yang tugasnya menghiburkan orang ramai, apabila pemergiannya, ia menjadi suatu kehilangan besar," katanya kepada BH Online.

Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil tidak sangka pertemuannya dengan Allahyarham Jaafar, minggu lalu, adalah yang terakhir.

"Baru-baru ini, saya bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) SENIMAN dan wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melawat arwah di kediamannya di Cheras.

"Ketika itu, arwah tidak menunjukkan dirinya sakit walaupun saya tahu keadaan kesihatannya agak merosot.

"Dia masih boleh bergelak ketawa dan bergurau. Arwah kata dengan cara itu sahaja dia dapat melupakan seketika penyakit.

"Apa yang membuatkan saya terkilan, saya tidak sempat bawa Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menziarah arwah," katanya.

Allahyarham Jaafar, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Berita pemergian Jaafar atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang disahkan anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.

Allahyarham Jaafar sebelum ini mengesahkan mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Berita Harian X