Rabu, 3 April 2024 | 1:16pm
Kak Ogy menyifatkan arwah Jaafar seorang yang berhati mulia dan mesra dengan orang ramai.
Kak Ogy menyifatkan arwah Jaafar seorang yang berhati mulia dan mesra dengan orang ramai.

Pemergian Jaafar dicemburui pada 23 Ramadan - Kak Ogy

KUALA LUMPUR: "Pemergiannya amat dicemburui, siapa yang tak mahu meninggal dunia dalam bulan Ramadan," katanya.

Demikian perkongsian aktres dan pengarah, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Kak Ogy selepas mendapat berita duka pemergian sahabat baiknya, Allahyarham Jaafar Onn, 73, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, jam 11.30 pagi tadi.

Kak Ogy berkata, dia terkejut dengan berita pemergian sahabatnya itu, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

"Kami tak pernah berlakon bersama, tapi saling mengenali sejak sekian lama. Arwah seorang yang berhati mulia.

"Saya masih ingat ketika saya baru berhijrah, arwah menjemput saya datang ke kedai makannya, kami berborak hingga jam 1 pagi.

"Ketika itu, ada ramai yang menjauhkan diri daripada saya, tapi arwah tak pernah. Sebab ada yang ingat saya jadi 'extremist' bila berhijrah.

"Jadi, bila dapat tahu arwah meninggal dunia, saya terkejut. Apa yang membuatkan saya sedih melihat videonya sedang sakit, jadi saya rancang nak ziarah pada Aidilfitri ini.

"Allah lebih menyayanginya, saya terkejut dapat berita sedih ini.

"Namun, bila lihat sudut lain, pemergiannya pada 23 Ramadan dan amatlah dicemburui. Kita pasti cemburu sesiapapun sahaja dijemput Ilahi pada bulan mulia ini," katanya kepada BH Online.

Justeru, Ogy percaya pemergiannya pengakhiran yang baik memandangkan arwah seorang yang baik hati dan mesra dengan orang ramai.

"Arwah juga tak suka bergosip dan bercerita pasal orang. Ketika sihat, arwah pernah ajak saya makan ketika menjadi duta produk.

"Walaupun kami tak rapat seperti Allahyarham Rohana Jalil, tapi mengenalinya, arwah memiliki hati yang sangat baik," katanya.

Terdahulu, berita pemergian Allahyarham Jaafar atau nama sebenar, Jaafar Onn Awang disahkan oleh anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.

Hanif berkata, proses pengurusan jenazah dan pengebumian masih dalam perbincangan bersama keluarga arwah.

Sebelum itu, arwah ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang sejak kelmarin akibat berlaku pendarahan ketika membuang air besar.

Allahyarham juga mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Berita Harian X