Rabu, 3 April 2024 | 12:01pm
Jaafar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Jaafar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Jaafar Onn meninggal dunia

SERDANG: Pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Berita pemergian Jaafar atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang disahkan oleh anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.

Hanif berkata, urusan proses pengurusan jenazah dan pengebumian masih dalam perbincangan bersama keluarga arwah.

Sebelum itu, Hanif memberitahu, Jaafar ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang sejak kelmarin akibat berlaku pendarahan semasa membuang air besar.

Hanif berkata, doktor sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan selepas kritikal dan jantungnya terhenti, pagi tadi.

Sebelum ini, Jaafar mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Berikutan itu, Jaafar berkata, dia perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot, sejak tahun lalu.

Jaafar dilahirkan di Muar, Johor pada 19 Oktober 1951, anak bongsu daripada tiga beradik.

Nama Jaafar mula dikenali selepas secara tidak sengaja diundang dalam program masakan, Dunia Wanita terbitan RTM pada 1973.

Menerusi program dihoskan Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail, Jaafar yang pandai memasak sejak di bangku sekolah mula dikenali ramai dan sering diundang dalam pelbagai program.

Selain masakan, Jaafar juga handal menjahit baju walaupun hanya mengikuti kelas jahitan di kampung.

Kerjaya Jaafar dalam dunia lakon dan nyanyian bermula selepas Datuk Rosnani Jamil melamarnya berlakon dalam telefilem Lagenda Lela Manja. seterusnya memperoleh banyak peluang membintangi drama dan filem.

Berita Harian X