Rabu, 3 April 2024 | 8:31am
Nabila bakal mencuit hati penonton dengan gelagatnya di New York dalam program rancangan Masak Sana Sini New York Khas Raya pada jam 12 tengah hari pada Syawal pertama. - Foto Ihsan RTM
Nabila bakal mencuit hati penonton dengan gelagatnya di New York dalam program rancangan Masak Sana Sini New York Khas Raya pada jam 12 tengah hari pada Syawal pertama. - Foto Ihsan RTM

RTM saji 15 program baharu sempena Syawal

KUALA LUMPUR: Sepanjang Syawal yang bakal menjelang, RTM menyajikan pelbagai program istimewa buat penonton setia melalui saluran TV1, TV2 dan Okey.

Penonton bakal menyaksikan seleksi kandungan hebat merangkumi program kerohanian, telefilem, drama bersiri, hiburan, sketsa, sitkom, variasi, bual bicara serta banyak lagi yang juga boleh distrim dalam talian melalui RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my) secara percuma.

Sebanyak 15 program baharu dijanjikan kepada penonton TV1 bermula siaran dari malam raya, seperti Gema Takbir, Siaran Gema Raya dan Solat Sunat Aidilfitri serta Borak Dulu Baru Buka (Khas Syawal). Turut dihidangkan drama terbaik menyentuh emosi mengisi slot Panggung RTM iaitu Raya Tak Nampak yang ditayangkan pada jam 9 malam 13 April ini dan Abyad Sofi (jam 9 malam 20 April ini).

Telefilem Raya Tak Nampak terbitan Unit Drama TV RTM mengisahkan misi tiga bujang cuba menyelamatkan seorang gadis buta yang sehelai sepinggang untuk pulang beraya menjadi huru hara apabila lakonan si buta pecah tembelang dan mereka dikejar gangster sebenar.

Telefilem Raya Tak Nampak membariskan pelakon iaitu Wani Kayrie, Danial Zaini, Imran Aqil dan Mamak Puteh.

Telefilem Abyad Sofi memaparkan kisah Abyad Sofi yang menghidap penyakit sindrom OCD berdepan dengan orang sekelilingnya. Naskhah ini dilakonkan Mimi Ernida, Fikry Ibrahim dan Kazar Saisi.

Selain itu, program hiburan menarik seperti Temasya Aidilfitri bakal menemui penonton pada jam 9 malam Syawal pertama; Bedayang Ta' Aidilfitri terbitan RTM Sabah (jam 1.30 petang 1 Syawal) dan Berambeh Raya terbitan RTM Sarawak (jam 1.30 petang 2 Syawal). Tidak ketinggalan, bual bicara Cuit Sikit Jangan Sentap, Iris Wanita, Panorama, dan Planet Sukan.

TV2 pula menawarkan 10 program istimewa merangkumi filem terbaik seperti Paskal yang menemui penonton pada jam 9 malam 1 Syawal; Spider-man: No Way Home (9 malam 3 Syawal) dan Toolsidas Junior (9 malam 5 Syawal). Turut disiarkan telemovie bertajuk Ustazah Ekspress pada jam 9 malam 2 Syawal.

Kemeriahan Syawal turut dirasakan melalui rancangan hiburan Riang Riuh Raya yang bakal disajikan pada jam 9 malam 4 Syawal dan program baharu dihoskan Tyzo Xander iaitu Radar Skrin (11 pagi 5 Syawal).

TV2 turut menghadiahkan Havoc Raya Bintang RTM yang bakal disiarkan pada jam 9 malam 2 Syawal ini, menampilkan peserta Bintang RTM 2024 dan penyanyi popular iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Liza Hanim, dan Haqiem Rusli.

Saluran Okey pula akan menyajikan rancangan Masak Sana Sini New York Khas Raya pada jam 12 tengah hari Syawal pertama. Dalam program ini, hos iaitu Nabila Huda membawa penonton menjelajah New York, Amerika Syarikat (AS) dan memasak juadah raya yang mudah serta ringkas.

Turut dipaparkan kemeriahan Aidilfitri bersama perantau di New York.

Selain itu, saksikan dua telefilem terbaik iaitu Serambi Syurgamu yang bakal ditayangkan pada jam 10 malam 3 Syawal serta Biniku Ratu Joran yang menemui penonton pada jam 10 malam 4 Syawal ini.

Telefilem Serambil Syurgamu menampilkan pelakon Shasha Abedul, Qi Razali dan Normah Damanhuri, manakala Biniku Ratu Joran menggandingkan pelakon utama Arief Yong dan Dayana Roza.

Berita Harian X