Selasa, 2 April 2024 | 4:29pm
Fizo ketika ditemubual pada Program Janji Berbaloi anjuran ST Rosyam Mart dan TV9 di Pasaraya ST Rosyam Mart, di Semenyih. Foto NSTP Sadiq Sani
Fizo ketika ditemubual pada Program Janji Berbaloi anjuran ST Rosyam Mart dan TV9 di Pasaraya ST Rosyam Mart, di Semenyih. Foto NSTP Sadiq Sani

Hak penjagaan anak dengan bekas isteri diselesaikan cara baik - Fizo Omar

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah... Sebab daripada awal lagi kita pergi berbincang biar mahkamah yang putuskan. Kami tidak ada pergaduhan.

"Kalau ikut bermasam muka, nak bergaduh itu ada sahaja. Tapi sebab dua-dua sudah faham, mahkamah sudah putuskan giliran saya hari apa semua sudah ada."

Demikian kata pelakon dan pengacara, Fizo Omar mengulas kemelut dengan bekas isterinya, Mawar Karim berkenaan hak penjagaan anak tunggal mereka, Wan Maryam yang kini selesai cara baik.

Fizo, 38, berkata, mereka mengikut keputusan mahkamah dan sebarang perubahan perlu dibincangkan bersama.

"Sekarang Maryam sudah tujuh tahun dan boleh faham. Dia pun sudah ingat jadual sekolah dan sebagainya. Pandangan saya, kalau dulu pun ikut emosi hendak bergaduh, saman menyaman dan turun naik mahkamah.

"Tapi bila kita lalui benda ini, sekejap sahaja. Bersabar dan bersabar akhirnya benda ini sudah boleh toleransi. Kuncinya bersabar. Kalau ikut darah muda, nak saman sahaja.

"Ini ambil masa tujuh hingga lapan tahun nak selesai berebut anak. Tahu-tahu anak dah besar. Dari bayar duit RM20,000 pada peguam baik simpan dalam bank," katanya ditemui pada program Janji Berbaloi 149 di ST Rosyam Mart Semenyih, Sabtu lalu.

Program ini menyaksikan TV9 bekerjasama dengan ST Rosyam Mart untuk berkongsi rezeki sempena keberkatan Ramadan dengan menawarkan pakej barangan dapur terpilih pada harga istimewa serendah RM1.49 khas buat pengunjung terawal.

Fizo yang juga hos Nasi Lemak Kopi O TV9 berkata, apabila Maryam berumur sembilan tahun, dia akan buat keputusan untuk tinggal dengan salah seorang daripada mereka.

"Saya sebenarnya tidak pernah tuntut hak penjagaan Maryam sebab pada saya anak perempuan perlukan mak lagi. Maryam sangat rapat dengan saya, tapi lain kalau bapa jaga berbanding emak.

"Untuk kebaikan anak, tak apalah saya mengalah jumpa sebulan dua kali sahaja. Tapi daripada situ saya belajar sesuatu. Saya belajar nilai untuk menghargai masa dengan anak.

"Waktu Maryam ada dengan saya, takkan saya ambil tawaran 'shooting' atau sebagainya. Betul-betul fokus pada dia. Hargai dia betul-betul," katanya.

Berita Harian X