Ahad, 31 March 2024 | 1:00pm
Sebelum ini, Riena mendedahkan hubungannya dengan kekasihnya, Nik Afiq berakhir pada penghujung tahun lalu. Foto IG Riena Diana
Sebelum ini, Riena mendedahkan hubungannya dengan kekasihnya, Nik Afiq berakhir pada penghujung tahun lalu. Foto IG Riena Diana

Riena Diana tak rela hidup bermadu

PETALING JAYA: Tidak seperti kebanyakan novel yang penghujung cerita watak utama menemui kebahagiaan hakiki, 'hikayat cinta' pelakon Riena Diana lebih mengundang air mata.

Tidak pernah Riena menduga yang dirinya malang dalam soal percintaan. Cinta pertamanya terjalin selama tiga tahun berakhir apabila wujud orang ketiga dan Riena secara rasmi kembali bersendirian, tahun lalu.

Meskipun pernah melalui pengalaman menyakitkan, namun, pemilik nama lengkap Nur Qamarina Diana Zulreal itu menganggap tiada istilah serik dan terus menaruh harapan untuk dicintai dan mencintai.

"Status saya masih solo dan mencari. Pada usia sekarang, saya memang sudah bersedia ke arah perkahwinan. Jika ada yang hadir dalam hidup, saya tak nak tunggu lama dan rancang nak kahwin.

"Saya dambakan lelaki bertanggungjawab dan ada rasa hormat. Harap dapat doakan yang terbaik buat saya.

Riena menganggap tiada istilah serik dan terus menaruh harapan untuk dicintai dan mencintai. Foto IG Riena Diana
Riena menganggap tiada istilah serik dan terus menaruh harapan untuk dicintai dan mencintai. Foto IG Riena Diana

"Bahkan, saya juga tidak pernah terfikir bercinta dengan rakan artis sebab saya faham kesibukan mereka yang terbabit dalam industri seni ini," katanya kepada BH Online.

Bintang yang mula meledak menerusi drama rantaian, Kampung People itu ditemui pada sidang media pelancaran drama TV3 bertemakan RaRa Macam Dulu-Dulu bagi Ramadan dan Syawal 2024 di Dewan Glamhall, Damansara Perdana di sini, baru-baru ini.

Kehadiran Riena untuk mempromosikan drama bersiri, Wanita Syurga bersama rakan gandingannya, Redza Rosli dan Siti Khadijah Halim. Menerusi drama arahan Muhamad Riza Baharudin itu, Riena membawakan watak Farah Ilyani Mokhtar yang juga perosak rumah tangga orang lain.

Meskipun menyedari jodohnya agak 'berat', namun, itu tidak bermakna bekas penyampai radio Hot FM itu bersedia berkongsi kasih dengan mana-mana wanita.

"Kalau boleh saya mahu jadi satu-satunya wanita dalam hidup suami sampai ke syurga. Bagi saya, tiada istilah nombor satu, dua atau tiga kerana tidak rela bermadu.

"Namun, saya terpaksa terima dengan hati terbuka sekiranya ditakdirkan jalan hidup terpaksa bermadu.

"Saya tahu 'bermadu' itu susah. Kalau betul ditakdirkan, saya kena reda. Kalau ada jodoh teruskan, kalau tiada jodoh berpisah," katanya.

Hilang kisah bermadu, perbualan menjadi bertambah rancak apabila Riena sempat berkongsi kisah sedih apabila kekasihnya pernah dirampas wanita lain.

Berkongsi lanjut, Riena berkata, meskipun pada awalnya begitu marah, namun, akhirnya reda selepas melihat kebahagiaan dikecapi mereka.

"Kejadian kekasih disondol ini sudah lama berlaku ketika zaman sekolah lagi. Tiga tahun bercinta tiba-tiba si dia dirampas wanita lain.

"Selepas kejadian itu, saya sangat marah hingga mengamuk kerana terlalu kecewa. Saya juga rasa amat sedih dan tak sangka jaga jodoh orang selama ini.

"Bagaimanapun, selepas beberapa tahun dan fikiran semakin matang, saya akhirnya reda dan dapat terima hakikat antara kami tiada jodoh.

"Kalau bukan takdir untuk saya, maksudnya tidak, walaupun selama mana cuba mengekalkan hubungan cinta," katanya.

Mengulas watak kontroversi yang dilakonkannya, Riena akui cukup takut dengan impak yang bakal diterima.

"Sebelum ini, watak Laila dalam Kampung People disayangi ramai. Jadi, bila dapat watak seperti ini, saya jadi takut nak pergi set penggambaran.

"Bagaimanapun, saya sudah bersedia dari segi mental kalau dikecam netizen," ujarnya.

Mengenai inspirasi melakonkan watak Farah, Riena berkata, dia menjadikan watak perampas dalam drama bersiri Koea berjudul The World of Married sebagai rujukan.

"Dalam drama itu, watak perampas tiada tipikal seperti suka nak menjerit-jerit. Nampak 'subtle' dan tidak keterlaluan.

"Saya suka dengan watak penyondol lakonan Alia Iman dalam drama Layang-Layang Perkahwinan. Banyak jugalah drama berkaitan yang saya tonton," katanya.

Sebelum ini, Riena mendedahkan hubungannya dengan kekasihnya, Nik Afiq berakhir pada penghujung tahun lalu.

Berita Harian X