Sabtu, 30 March 2024 | 2:00pm
Aina banyak menghabiskan masa di pusat kecergasan biarpun berpuasa demi mengurangkan berat badan. Foto IG Aina Abdul
Aina banyak menghabiskan masa di pusat kecergasan biarpun berpuasa demi mengurangkan berat badan. Foto IG Aina Abdul

Aina Abdul mahu susut 7 kg

KUALA LUMPUR: Demi menjayakan konsert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini, Mei ini, Aina Abdul mahu menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram (kg).

Selain mengekalkan stamina, Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani mahu mencapai berat yang ideal dengan ketinggiannya.

"Saya tak nak cakap berapa berat badan saya sekarang. Saya mahu turunkan tujuh kg. Saya agak rendah, tinggi saya 150 sentimeter.

"Jadi, kalau ikut berat dan tinggi, saya sudah dikategorikan 'overweight'. Sekarang berat saya menuju 50 kg.

"Saya sasar hendak turunkan berat badan sebelum konsert kerana membuat persembahan bersama orkestra perlu stamina tinggi.

"Lagu yang akan dibawakan pada konsert itu kebanyakan bernada tinggi. Sudah tentu ini menjadi konsert yang sangat mencabar buat diri saya.

"Biarpun DFP bukan pentas yang lincah, kali ini, saya mahu tonjolkan diri sebagai penyanyi, bukan hanya fesyen semata-mata," katanya ditemui pada majlis berbuka bersama media di sebuah hotel di Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.

Aina akan beraksi pada konsert bersama MPO di DFP, selama dua hari, mulai 11 Mei ini.

Bagi memastikan impian menjadi kenyataan, Aina yang popular dengan lagu Terus Hidup itu banyak menghabiskan masa di pusat kecergasan biarpun berpuasa.

"Susah untuk turunkan berat badan, apatah lagi, sebagai penyanyi. Saya tidak akan makan sebelum menyanyi, sebaliknya, makan selepas habis persembahan.

"Selalunya, habis lewat malam barulah sempat makan berat. Jadi, sepanjang Ramadan, saya tetap pergi ke gimnasium.

"Saya pernah diet tanpa bersenam dan kesannya pada nyanyian saya apabila 'tone' suara menjadi nipis.

"Saya rasa macam kurang sokongan. Jadi, saya tukar cara diet. Sekarang, saya memang bersenam," kongsi Aina.

Sementara itu, mengulas perasaan diundang mementaskan konsert di DFP, Aina yang tiga kali meraih trofi vokal terbaik berturut-turut pada Anugerah Juara Lagu (AJL) mengakui perasaannya bercampur baur.

"Saya macam tak percaya dan takut nak menyanyi. Perasaan sangat gemuruh sebab menyanyi dengan orkestra sangat berbeza. Sama juga dengan cara penyampaian dan teknik.

"Saya diingatkan konduktor untuk menyanyi set lagu berbeza, bukan seperti yang pernah saya bawa. Maksudnya, saya kena lebih tumpu perhatian di setiap nada dalam lagu," katanya.

Pada persembahan di DFP, Aina bakal mendendangkan 16 lagu yang kebanyakannya dipetik daripada album sulung berjudul Imaji.

Berita Harian X