Sabtu, 30 March 2024 | 11:00am
Fasha berpendapat seseorang artis perlu menjaga kerja, maka tiada apa yang mampu memberi kesan terhadap kerjaya. - NSTP/Faiz Anuar
Fasha berpendapat seseorang artis perlu menjaga kerja, maka tiada apa yang mampu memberi kesan terhadap kerjaya. - NSTP/Faiz Anuar

Jaga disiplin jadi pelindung 'digam'

KUALA LUMPUR: Aktres Fasha Sandha, 40, berpendapat golongan artis sama ada pelakon atau penyanyi perlu menjaga komitmen dan disiplin ketika bekerja supaya mampu menjadi pelindung daripada 'digam' penerbit atau stesen televisyen (TV) apabila dihambat kontroversi.

Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia belum cukup pakar memberi komen mengenai isu artis bermasalah hingga digam, tapi berpendapat menjaga kualiti kerja adalah perkara paling penting dalam kerjaya seni.

"Saya takut salah cakap, tapi isu gam artis ini lebih kepada pihak atasan yang berhak untuk komen mengenai perkara ini. Saya hanya pelakon, tapi pada pendapat saya, artis kena jaga kerja, komitmen dan disiplin.

"Insya-Allah bila jaga komitmen dan disiplin, ia akan bawa terbang lebih tinggi walau apapun kontroversi menghimpit. Ini antara perkara yang akan dinilai," katanya.

Fasha meraikan ulang tahun sempena majlis iftar Gardenia Numee dan Fasha Sandha di Gardenia Bakeries Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Faiz Anuar
Fasha meraikan ulang tahun sempena majlis iftar Gardenia Numee dan Fasha Sandha di Gardenia Bakeries Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Faiz Anuar

Kongsi lanjut, pelakon drama Rampas Cintaku ini berkata, sekiranya seseorang artis menjaga kerja, maka tiada apa yang mampu memberi kesan terhadap kerjayanya.

"Jadi jika berdepan kontroversi sekalipun, tapi kerja bagus, buat kerja betul-betul dan jaga orang sekeliling pastinya periuk nasi terjaga. Tiada apa yang boleh meruntuhkannya," katanya yang ditemui media pada majlis iftar Gardenia Numee dan Fasha Sandha di Gardenia Bakeries Shah Alam, baru-baru ini.

Hampir setahun menjadi duta Gardenia Numee, Fasha berkata, dia bersyukur menjadi ahli keluarga produk itu berikutan pengguna setia jenama itu.

"Alhamdulillah, saya dilantik duta sudah hampir setahun dan ini masuk tahun kedua. Memang saya pengguna setia Gardenia. Saya tak perlu berbohong sebab memang saya pengguna sejak zaman sekolah rendah lagi," katanya.

Fasha berkata, seorang ibu berkerjaya dirinya boleh memberikan inspirasi kepada golongan ibu agar dapat memudahkan penyediaan hidangan untuk keluarga.

"Walaupun sibuk menguruskan kerjaya, namun saya masih sempat menyediakan hidangan buat keluarga," katanya.

Berita Harian X