Jumaat, 29 March 2024 | 6:01pm
Alif hadir acara atau majlis penganugerahan hanya untuk melunaskan tuntutan kerja dan pulang ke rumah sebaik semuanya selesai. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh
Alif hadir acara atau majlis penganugerahan hanya untuk melunaskan tuntutan kerja dan pulang ke rumah sebaik semuanya selesai. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh

Alif tak suka berparti selepas acara, elak perkara tak baik

KUALA LUMPUR: Sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, artis versatil, Alif Satar mengakui tidak pernah menyertai parti yang diadakan selepas selesai sebarang acara bagi mengelak melakukan perkara tidak baik.

Alif atau nama lengkap, Muhammad Alif Mohd Satar, 34, berkata dia akan hadir acara atau majlis penganugerahan hanya untuk melunaskan tuntutan kerja dan pulang ke rumah sebaik semuanya selesai.

"Selepas selesai kerja, saya akan terus balik rumah. Saya tak pernah sertai mana-mana parti selepas selesai acara. Daripada umur 16 tahun, saya tak pernah sertai 'after party'.

"Kalau dulu semasa Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Juara Lagu (AJL) atau apa sahaja, memang saya tak ada sertai apa-apa parti.

"Semasa menang tempat ketiga pada AJL 37, tahun lalu pun saya tak sertai. Saya hanya pergi untuk sesi temubual dan kemudiannya balik.

"Saya sudah 18 tahun dalam industri, jadi saya tahu betapa senangnya Allah nak tarik nikmat jika saya buat perkara tidak baik," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa sempena pengumuman Alif sebagai duta syarikat jual beli emas, GB Gold Malaysia di Forest Valley Hall, Cheras, semalam.

Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Seperti Aku itu berkata, kejayaan dimiliki adalah hasil doa ibu bapa dan isteri tercinta.

"Saya selalu fikir kejayaan ini datang daripada doa mama dan ayah. Saya bersyukur ibu bapa masih ada dan isteri juga sentiasa menyokong.

"Saya berusaha untuk sampai ke tahap ini sudah lama. Apa yang orang nampak pada 2024 mungkin persiapan saya sejak 10 tahun lalu. Bila sampai tahap ini saya tak berdepan kejutan budaya dan selalu berdoa," katanya.

Shahfizzam (tiga dari kiri) mengumumkan penajaan kepada Alif Satar & The Locos yang bakal mengadakan konsert jelajah UK pada 20 April depan. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh
Shahfizzam (tiga dari kiri) mengumumkan penajaan kepada Alif Satar & The Locos yang bakal mengadakan konsert jelajah UK pada 20 April depan. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh

Mengulas lanjut, Alif berkata, dia tidak pernah merasakan dirinya seorang selebriti, namun menyedari status individu berpengaruh dibawa perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Malah, katanya, dia akan berhati-hati dalam melakukan apa sahaja dan segera mendapatkan nasihat agamawan supaya tidak tersilap langkah.

"Saya tak pernah rasa diri ini seorang selebriti. Disebabkan itu, saya tak pernah segan pergi makan kedai mamak, tak kisah lepak dengan sesiapa atau pergi mana-mana.

"Saya tak pernah rasa begitu, cuma saya tahu diri saya adalah 'public figure' dan tahu apa yang dibuat orang akan tengok, percaya dan dengar.

"Orang juga akan jadikan saya rujukan, jadi bila pergi mana-mana saya kena tanggungjawab. Kadang-kadang kalau pergi tempat macam tak berapa baik saya akan berfikir sama ada okay atau tidak.

"Jadi, saya hubungi ustaz atau mufti tanya pendapat, sebab itulah kena ada individu dijadikan rujukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Alif menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) sebagai duta kepada GB Gold Malaysia selama 15 bulan bermula bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Shahfizzam Moideen turut mengumumkan penajaan kepada Alif Satar & The Locos (ASTL) yang bakal mengadakan konsert jelajah United Kingdom (UK) pada 20 April depan.

Berita Harian X