Jumaat, 29 March 2024 | 8:31am
Kempen Battle Of The Influencers membabitkan tujuh pempengaruh tempatan sebagai usaha melipatgandakan mencari dana membantu rakyat Palestin.
Kempen Battle Of The Influencers membabitkan tujuh pempengaruh tempatan sebagai usaha melipatgandakan mencari dana membantu rakyat Palestin.

Fastabiqul Khairat sasar RM10 juta untuk Palestin

KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tetap konsisten dengan usahanya membantu rakyat Palestin yang ditindas bertahun-tahun oleh Zionis Israel.

Kali ini, Nadir tampil dengan kempen Battle Of The Influencers sebagai tanda Cinta Gaza Malaysia melipatgandakan usaha bagi membantu rakyat Palestin berikutan krisis kemanusiaan yang membelenggu wilayah itu.

Nadir berkata, Battle Of The Influencers adalah gabungan usaha antara pempengaruh tempatan yang berpengaruh besar dalam mengumpul dana buat bantuan kemanusiaan sempena Ramadan.

Ia membabitkan selebriti seperti Alif Satar, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Yusuf Bahrin serta pempengaruh seperti Mohd Fadli Salleh, Khairul Hakimin Muhammad dan Ustaz Yaakub Yusra termasuk dirinya sendiri.

"Kami melancarkan misi baharu Ramadan ini iaitu Battle Of The Influencers: Fastabiqul Khairat yang membabitkan tujuh pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut di laman sosial dengan satu impian mengumpulkan dana sasaran RM10 juta.

"Ia sebenarnya adalah cetusan idea alternatif mencari sumbangan buat rakyat Palestin bila mana kita lihat barisan pempengaruh ini mempunyai kecenderungan menarik orang ramai. Orang ramai mengetahui mengenai keadaan di Gaza, tapi tak jumpa cara memberikan sumbangan.

"Jadi, kami lancarkan misi Fastabiqul Khairat bermaksud berkejar-kejar melakukan kebaikan. Dalam battle ini kita mahu lihat pempengaruh mana yang akan mengumpulkan RM1 juta pertama untuk Gaza," katanya kepada BH Online.

Kongsi lanjut, Nadir berkata, orang ramai boleh menderma menerusi pautan yang diletakkan di laman sosial pempengaruh yang terbabit dan misi ini berterusan sehingga hujung Ramadan.

"Kami menyasarkan dapat kumpul RM10 juta untuk Ramadan buat Gaza. Kami akan belanjakan semua itu untuk bulan ini.

"Jadi, kami memberi laluan kepada orang ramai untuk menyumbang dan bersama berkejar melakukan kebaikan," katanya.

Jenis sumbangan akan dihulurkan daripada pengumpulan dana ini adalah seperti pek iftar, makanan, sayuran, daging, baju raya, kewangan, perubatan dan bekalan air bersih.

Lebih istimewa, Nadir berkata, pemberi sumbangan yang bertuah akan menerima hadiah berupa tajaan menunaikan umrah.

"Kami akan buat cabutan daripada pengikut pempengaruh pertama meraih sumbangan RM1 juta. Misalnya, Alif paling cepat dapat RM1 juta, kita akan cabut undi daripada pengikutnya yang menderma dan hadiahkan pakej umrah," katanya.

Nadir kini terpisah dengan isteri dan anak-anaknya selepas meninggalkan Gaza susulan beberapa urusan di Malaysia sebelum konflik Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu. - Foto IG Nadir Al-Nuri
Nadir kini terpisah dengan isteri dan anak-anaknya selepas meninggalkan Gaza susulan beberapa urusan di Malaysia sebelum konflik Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu. - Foto IG Nadir Al-Nuri

Sementara itu, bercerita mengenai sambutan rakyat Palestin ketika menyambut Ramadan, Nadir berkata, Ramadan selalunya menjadi tempoh bagi seisi keluarga berkumpul sambil menyediakan juadah dan berbuka bersama, namun ia berbeza buat rakyat Palestin.

"Ramadan kali ini sangat berbeza. Di Gaza masih okay, tapi banyak masalahnya di sebelah utara, manakala bandar Gaza sendiri berhadapan dengan masalah berbuka puasa.

"Ada yang berpuasa tanpa bersahur dan bila tiba waktu iftar juga tiada makanan.

"Mereka berbuka puasa dengan apa yang ada mungkin seperti air, berbeza dengan kita di Malaysia yang boleh balas dendam makan ketika berbuka puasa.

"Tapi, satu kesilapan yang mana orang anggap Ramadan adalah sesuai membuat serangan atas Gaza kerana masa itulah semangat mereka mudah patah, tapi sebenarnya tidak.

"Ramadan adalah waktu mereka paling dekat dengan Allah dan bersungguh-sungguh beribadat misalnya dalam sebulan berkali-kali boleh khatam al-Quran.

"Jadi, Ramadan adalah bulan mereka tak patut diserang kerana semangat mereka sangat kuat ketika ini," katanya.

Bertanya mengenai khabar keluarganya, Nadir berkata, dia perlu tabah dan berserah kepada Allah walau apapun berlaku.

Nadir berkata, menerima perkhabaran ahli keluarga masih hidup sudah memadai, biarpun tidak berpeluang beriftar bersama.

"Sekarang kita berada pada masa kritikal di mana keluarga saya berada Rafah dan mereka masih tertunggu-tunggu serangan darat dibuat.

"Setiap hari mereka menanti penuh debaran dan kami juga akan bermesej dan menantikan khabar sama ada mereka masih hidup atau tidak.

"Tapi, setakat ini, Alhamdulillah mereka di Rafah masih boleh berbuka puasa dengan bantuan makanan yang disalurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO). Nasiblah, tengoklah apa yang ada.

"Memang rasa sedih sebab Ramadan biasanya sambut dalam suasana kekeluargaan kerana ini adalah masa untuk berkumpul dan menziarahi, tapi semua itu tak dapat dilakukan, jadi saya cuba sibukkan diri dengan program supaya ibadat tidak terganggu dek teringat pada keluarga," katanya yang sudah terpisah sejak September lalu.

Sebelum ini, Nadir meninggalkan Gaza susulan beberapa urusan di Malaysia sebelum konflik Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu.

Sejak itu, Nadir terpisah dengan isteri dan anaknya, selain hanya mampu berhubung dengan mereka selang dua hari akibat rangkaian telekomunikasi serta liputan internet mengalami gangguan.

Pada Mei 2016, Nadir berkahwin dengan balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi selepas berkenalan selama tiga tahun dengan pilihan itu dibuat sebagai kaedah memudahkan perjuangannya.

Berita Harian X