Khamis, 28 March 2024 | 2:26pm
Zul tidak pernah menghubungi Ruhainies selepas kontroversi berlaku kerana tak layak beri pendapat.
Zul tidak pernah menghubungi Ruhainies selepas kontroversi berlaku kerana tak layak beri pendapat.

Doakan baik-baik, takkan tanya Ruhainies isu khalwat - Zul Ariffin

KUALA LUMPUR: Menganggap apa yang berlaku kepada 'pasangannya' dalam drama Wifi Sebelah Rumah, Ruhainies sebagai tiada kena mengena dengannya, pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin memilih tidak ikut campur urusannya.

Sebaliknya, Zul memilih mengasingkan diri dan hanya memerhati daripada jauh kes tangkap khalwat antara Ruhainies bersama penyanyi Singapura, Aliff Aziz.

Zul berkata, sejak kontroversi itu 'meletus' dia tidak pernah menghubungi pelakon wanita itu kerana menganggap dirinya bukan calon sesuai untuk memberi nasihat.

"Saya tak pernah hubungi Ruhainies. Dan saya juga bukanlah orang yang layak untuk memberikan apa-apa pendapat.

"Kita anggap benda ini satu ujian dan musibah, pastinya ada hikmah disebaliknya," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Masa Angugerah Terindah Astro, di Petaling Jaya, malam tadi.

Menurut Zul lagi, dia tidak mahu membuang pahala pada bulan Ramadan kerana melihat ramai yang berbuat demikian selepas isu itu menjadi perdebatan ramai sejak awal lagi.

Zul doakan yang terbaik buat Ruhainies, enggan komen panjang membabitkan kisah peribadi orang lain. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Zul doakan yang terbaik buat Ruhainies, enggan komen panjang membabitkan kisah peribadi orang lain. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, dia hanya mengetahui berita yang menimpa Ruhainies dan Aliff melalui media.

"Saya hanya tahu apa yang berlaku melalui laporan daripada media massa.

"Untuk saya tanya depan-depan atau hubungi Ruhainies semata-mata nak tahu, memang takkan berlaku walaupun kami teman baik.

"Kita tak tahu mungkin dia perlukan ruang atau masa untuk fikir, lagipun ia bukan benda seronok," katanya.

Ujar Zul lagi, apa boleh dilakukan ketika ini hanyalah mendoakan yang terbaik buat rakannya itu.

"Kita doakan yang terbaik sahaja. Ini membabitkan kisah peribadi orang, jadi saya takut nak komen panjang, lebih baik saya jaga lidah," katanya.

Pada 8 Mac lalu, Ruhainies ditahan bersama Aliff oleh anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) atas dakwaan khalwat.

Ruhainies dan Aliff masing-masing tampil memohon maaf susulan insiden itu.

Berita Harian X