Khamis, 28 March 2024 | 8:30am
Kamil menyarankan setiap penerbit dan pelakon perlu menandatangani kontrak perjanjian sebelum memulakan penggambaran bagi mengelak sebarang masalah berhubung pembayaran. - NSTP/Genes Gulitah
Kamil menyarankan setiap penerbit dan pelakon perlu menandatangani kontrak perjanjian sebelum memulakan penggambaran bagi mengelak sebarang masalah berhubung pembayaran. - NSTP/Genes Gulitah

FINAS teliti isu gaji pelakon kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan membuat penelitian berhubung isu gaji pelakon kanak-kanak supaya menepati piawaian sepatutnya.

Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, berkata penyelarasan gaji pelakon di bawah bidang kuasa agensi lain, namun pihaknya bersedia mengadakan perbincangan bagi melaksanakan penetapan baharu melalui Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

"Gaji pelakon kanak-kanak yang mentadbirnya adalah agensi lain iaitu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jadi FINAS perlu patuh perkara itu.

"Sebenarnya sudah lama (isu gaji pelakon kanak-kanak), cuma sekarang isu berkenaan diberi fokus. Isu ini bukan FINAS tapi penerbit yang patut ambil tahu jika ambil pelakon bawah 18 tahun.

"Tapi, tidak mengapa selepas FINAS mengetahui perkara ini, kita boleh letak syarat dalam SPP dengan lebih teliti dan tegas.

"Ini bukan sahaja mengenai pelakon bawah 18 tahun, tapi kalau boleh hendak tengok kontrak ada," katanya.

Kelmarin, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dilapor akan mengarahkan FINAS meneliti isu gaji pelakon kanak-kanak bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan terhadap golongan berkenaan.

Fahmi dilapor berkata, isu berkenaan penting memandangkan kanak-kanak mungkin tidak mengetahui hak mereka sebagai pelakon.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung langkah bagi melindungi hak dan keselamatan pelakon kanak-kanak.

Dalam pada itu, Kamil menyarankan setiap penerbit dan pelakon perlu menandatangani kontrak perjanjian sebelum memulakan penggambaran bagi mengelak sebarang masalah berhubung pembayaran.

"Kebanyakan masalah yang kami hadapi semuanya berpunca daripada ketiadaan kontrak. Saya hanya boleh dengar daripada kedua-dua pihak, tapi 'kertas' (kontrak) tiada.

"Kertas ini bukan untuk menyusahkan, tapi bertujuan menyatakan situasi sebenar daripada mula dan ini kewajipan saya. Ini semua mengenai tanggungjawab FINAS yang memberi permit.

"Tapi, sebagai penerbit perlu tahu juga mengenai perkara ini. FINAS ada peranan tersendiri dan begitu juga penerbit yang perlu memainkan peranan sepatutnya terutama mengenai bayaran," katanya.

Mengulas lanjut, Kamil berharap agar kadar minimum gaji pelakon dapat ditetapkan bagi menjamin hak individu yang terbabit dalam industri berkenaan.

Malah, katanya, FINAS akan mengadakan perbincangan bersama Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) untuk memperhalusi tindakan selanjutnya.

"Sejak 2015 saya sudah kata untuk tetapkan kadar minimum (bayaran pelakon) sebab kalau naik teksi pun, belum bergerak lagi sudah ada caj. Jadi, kenapa dalam industri perfileman tiada perkara sebegitu.

"Inilah perkara yang sedang dibincangkan bersama GAFEMA yang terdiri daripada 11 persatuan seni di bawahnya. Insya-Allah, kita akan sampai ke tahap ini.

"Bayaran juga perlu ikut kepada akreditasi pelakon, siapa yang sudah menang anugerah bayarannya lain daripada pendatang baharu.

"Inilah antara cabaran dihadapi FINAS dan saya memang hendak selesaikan masalah ini sebelum perkhidmatan tamat.

"Perkara ini memang penting, pelakon yang dapat bayaran cukup akan gembira dan memberikan 100 peratus komitmen dalam lakonan," katanya.

Berita Harian X