Rabu, 27 March 2024 | 3:01pm
Dari kiri, Nadeera, Indah dan Wani melakukan sesi rakaman berbeza berikutan kepadatan jadual. - Foto IG Wani Kayrie
Dari kiri, Nadeera, Indah dan Wani melakukan sesi rakaman berbeza berikutan kepadatan jadual. - Foto IG Wani Kayrie

Balik Raya gabungan harmonis vokal tiga penyanyi

KUALA LUMPUR: Sungguhpun sesi rakaman berjalan berasingan, tiga penyanyi wanita yang dikenali dengan kekuatan vokal tetap menghasilkan gabungan harmoni menerusi lagu berjudul Balik Raya.

Tiga penyanyi di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Nadeera, Wani Kayrie dan Indah Ruhaila berkolaborasi menerusi lagu ciptaan komposer muda, Rushdan.

Indah berkata, dia tidak berfikir panjang bila diberitahu bakal bergandingan dengan Wani dan Nadeera.

"Kali terakhir saya merakamkan lagu raya pada usia 17 tahun. Jadi, bila dapat tahu berpeluang rakam lagu raya takkan nak tolak.

"Lagi pun, siapa tak nak bekerja dengan Wani dan Nadeera. Memang mudah bekerja kerana mereka adalah penyanyi yang bagus.

"Jujurnya, kami tidak berlatih. Kali pertama memerlukan membuat persembahan kami hanya berlatih di belakang pentas.

"Ketika rakaman kami tak bersama kerana jadual tidak mengizinkan. Saya risau juga bila nak menyanyi bersama di pentas, tak dapat 'feel', tapi ketika kali pertama buat persembahan, semuanya okay," katanya.

Tiga penyanyi di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Nadeera, Wani dan Indah berkolaborasi menerusi lagu Balik Raya ciptaan Rushdan. - NSTP/Nur Iobal Syakir Mohd Salleh
Tiga penyanyi di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Nadeera, Wani dan Indah berkolaborasi menerusi lagu Balik Raya ciptaan Rushdan. - NSTP/Nur Iobal Syakir Mohd Salleh

Indah bersama Wani dan Nadeera ditemui pada majlis pelancaran muzik video Balik Raya yang diadakan di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Kata Indah, pengalaman merakamkan video muzik lagu nuansa pop Balik Raya itu juga tidak akan dilupakan kerana semuanya dapat diselesaikan dalam masa singkat.

"Bayangkan, kami melakukan proses penggambaran video muzik selama 24 jam. Semuanya 'wrap' sekitar jam 5 pagi dan dilakukan sebelum bulan puasa di Sekinchan.

"Paling seronok dapat bekerjasama dengan rakan-rakan artis lain di bawah satu bumbung," katanya.

Bagaimanapun, Indah tak menafikan lagu hari raya versi lama lebih menyentuh hati, cuma dia dan rakan kolaborasi tampil dengan genre rancak seiring dengan peredaran zaman.

"Jujurnya, ia bergantung kepada pendengar. Ada yang suka lagu sedih dan lagu rancak sebab nak 'vibe' hari raya. Saya okay kedua-duanya.

"Namun, seiring peredaran zaman tak salah mengeluarkan lagu berentak moden. Saya percaya generasi hari ini lebih sukakan lagu rancak, kalau pertandingan lagu raya mungkin orang pilih lagu sedih kerana boleh menonjolkan vokal.

"Untuk lagu rancak boleh juga buat 'dance challenge' dan seumpamanya," katanya.

Berita Harian X