Selasa, 26 March 2024 | 1:05pm
Nurul Shuhada tak mahu anak-anak kekurangan kasih sayang seorang bapa dan berharap Hafidz dapat menunaikan tanggungjawabnya. - NSTP/Faiz Anuar
Nurul Shuhada tak mahu anak-anak kekurangan kasih sayang seorang bapa dan berharap Hafidz dapat menunaikan tanggungjawabnya. - NSTP/Faiz Anuar

Umar rindukan Hafidz

SHAH ALAM: "Ibu, belilah abah robot di Shopee," kata anak bongsu pelakon Hafidz Roshdi iaitu Umar kepada ibunya, Nurul Shuhada Mat Shukri kerana rindukan kehadiran seorang bapa dalam kehidupannya.

Nurul Shuhada, 30, berkata, dia tak mahu anaknya rasa ada kekurangan kasih sayang seorang bapa dan berharap agar Hafidz dapat berikan komitmen dan tanggungjawabnya.

"Saya harapkan komitmennya sebab anak-anak dia juga. Saya nak anak-anak rasa mereka ada juga abah walaupun tak sama macam orang lain. Sekurang-kurangnya, mereka rasa kehadiran seorang abah.

"Umar asyik cakap suruh beli roboh abah. Jenuh saya nak cari. Saya tak mahu dia ada perasaan begitu. Saya nak kita sama-sama bagi anak tak rasa kurang kasih sayang itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nurul Shuhada, Umar juga pernah meminta untuk 'pinjam' ayah daripada sepupunya.

"Humairah jadi macam saya, mula tak kisah sebab mula membesar. Umar mungkin sebab dia masih kecil, jadi dia tengok sepupu-sepupunya ada ayah, macam teringin nak ada ayah.

"Pernah juga dia pergi kepada sepupu dan cakap nak pinjam ayah dia. Kasihanlah dekat anak-anak, kan. Kalau bercakap mengenai anak-anak, saya sensitif sikitlah," katanya.

Ditanya sama ada Hafidz ada menghubungi anak-anaknya, Nurul Shuhada berkata, Hafidz ada membuat panggilan video semalam.

"Saya tak dengar perbualan mereka sebab saya nak mereka ada privasi untuk bercakap dengan ayah mereka. Tapi, mungkin hal yang saya sempat terdengar, Humairah minta benda yang paling mahal sekali sebab sudah sangat lama. Mungkin anak-anak ada minta sesuatu dekat dia kot," katanya.

Ditanya mengenai nafkah kepada anak-anak, Nurul Shuhada memaklumkan nilainya sudah ditambah.

"Baru naik sikit (jumlah nafkah), RM200 seorang anak daripada RM100 untuk seorang anak sebelum ini.

"Saya tak boleh bergantung kepada ibu bapa saya sepenuhnya sebab mereka pun sudah bersara. Mereka sama-sama bantu jaga anak saya pun Alhamdulillah," katanya.

Berita Harian X