Selasa, 26 March 2024 | 11:37am

Kediaman Sean Diddy Combs diserbu, disyaki terbabit kes pemerdagangan seks

NEW YORK: Dua hartanah mewah milik penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat (AS), Sean Diddy Combs di Los Angeles dan Miami diserbu ejen Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri (HSI) bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Imigresen kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pemerdagangan seks, lapor agensi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Combs terbabit dalam siasatan pihak keselamatan AS itu.

Kenyataan dikeluarkan HSI memaklumkan, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama polis, HSI Los Angeles serta Miami.

"HSI New York melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang sebagai sebahagian siasatan berterusan dengan bantuan HSI Los Angeles, Miami dan rakan penguatkuasa undang-undang tempatan.

"Kami akan memberi maklumat lanjut apabila ia sudah lengkap," katanya dalam satu kenyataan, Isnin lalu.

Jabatan Syerif Daerah Los Angeles juga dilaporkan berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Setakat ini, wakil Combs belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serbuan tersebut.

Combs menghadapi beberapa tuduhan serangan seksual, baru-baru ini termasuk dakwaan penyanyi R&B, Cassie yang diselesaikan tahun lalu.

Seorang lagi mangsa menuduh Combs merogolnya 20 tahun lalu, ketika berusia 17 tahun.

Mangsa tidak dinamakan itu berkata kejadian bermula ketika dia bertemu dengan Harve Pierre yang juga presiden label rakaman milik Combs, Bad Boy Entertainment di Detroit pada 2003.

Pierre dikatakan membawanya ke studio rakaman di New York menaiki jet peribadi di mana diberi dadah dan alkohol sehingga tidak sedarkan diri.

Mangsa mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh Pierre, Combs dan seorang lelaki lagi yang tidak dikenali.

Sehingga kini, Combs menafikan semua tuduhan terhadapnya itu. - AGENSI

Dua kediaman mewah milik Combs di Los Angeles dan Miami diserbu ejen Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri disyaki terbabit pemerdagangan seks. - Foto AGENSI
Dua kediaman mewah milik Combs di Los Angeles dan Miami diserbu ejen Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri disyaki terbabit pemerdagangan seks. - Foto AGENSI
Berita Harian X