Selasa, 26 March 2024 | 8:31am
Fahmi beramah mesra dengan penggiat seni pada majlis tahlil dan sambutan Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, Kompleks FINAS, Hulu Klang, Jumaat lalu. Foto Ihsan FINAS
Fahmi beramah mesra dengan penggiat seni pada majlis tahlil dan sambutan Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, Kompleks FINAS, Hulu Klang, Jumaat lalu. Foto Ihsan FINAS

FINAS, PERKESO pertingkat kebajikan pekerja seni

HULU KLANG: Berita gembira menanti penggiat seni dan kreatif tanah air apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menambah baik sistem kebajikan pekerja seni.

Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sempena Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, Kompleks FINAS, di sini, Jumaat lalu.

Fahmi berkata, kerjasama yang akan dimeterai dua agensi berkenaan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani bulan depan, bakal memberi manfaat kepada hampir 5,000 penggiat industri seni dan kreatif tanah air.

"Penganjuran Hari Seniman Negara tahun ini bertujuan mengumpul seniman tempatan dan beri mereka keceriaan. Selain itu, disampaikan sumbangan kepada 50 seniman.

"Alhamdulillah, selepas FINAS berbincang dengan PERKESO, sukacita saya ambil kesempatan ini untuk mengumumkan pada April, PERKESO dan FINAS akan tandatangani MoU.

"Usaha ini untuk memastikan aspek keselamatan sosial dapat diterapkan dalam beberapa perkara membabitkan FINAS bagi menjamin keselamatan sosial seniman dan mereka yang terbabit dalam aktiviti penggambaran.

"Ini adalah langkah positif yang kita harap akan dapat membantu memastikan sekiranya apa-apa berlaku kepada pelakon dan kru, setidak-tidaknya ada beberapa perkara asas yang dapat dibantu untuk seniman," katanya ditemui pemberita sebaik acara itu berakhir, Jumaat lalu.

Fahmi berkata, kementerian sedar aspek keselamatan sosial membabitkan pelakon dan kru penggambaran pada waktu bekerja yang sering kali tidak dibincangkan.

"Kita ambil maklum mereka yang terbabit dalam bidang kreatif seperti penggambaran, perfileman, pelakon atau mereka yang bekerja di sebalik tabir, sifat kerja itu adalah separuh masa dan sepanjang masa.

"Jadi, ada beberapa perkara yang sedang diteliti.

"Saya harap selepas ini akan ada beberapa pengumuman baik yang boleh kita berikan, terutama untuk seniman," katanya.

Fahmi berkata, perbincangan panjang dan mendalam antara FINAS dan PERKESO sudah dilaksanakan bagi memastikan usaha menjaga kebajikan penggiat seni tempatan lancar.

"Saya lihat perbincangan yang panjang dan mendalam antara FINAS dan PERKESO sudah dilakukan mengambil kira pelbagai aspek dalam bidang perfileman, jadi ia agak sedikit kompleks.

"Namun, kita berharap selepas ini, apabila pelakon dan kru tandatangani kontrak perjanjian bersama pihak produksi supaya ada beberapa aspek mereka terbela dalam bertugas," katanya.

Fahmi memberitahu caruman PERKESO untuk wartawan sambilan atau 'stringer' bakal dilaksanakan.

Tambahnya, usaha ini membolehkan semua pengamal media mendapat manfaat daripada PERKESO, sekali gus menjamin keselamatan sosial pekerjaan.

Berita Harian X