Isnin, 25 March 2024 | 11:01am
Fahmi (dua dari kiri) memberikan sumbangan kepada pelakon dan pengarah veteran, Mohd Nor Bond ketika majlis iftar sempena Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, FINAS, Jumaat lalu. - NSTP/Nur Raihana Alia
Fahmi (dua dari kiri) memberikan sumbangan kepada pelakon dan pengarah veteran, Mohd Nor Bond ketika majlis iftar sempena Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, FINAS, Jumaat lalu. - NSTP/Nur Raihana Alia

Wujud 'klausa' bendung salah laku artis

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi bakal mewujudkan satu mekanisme tambahan bagi membendung isu salah laku membabitkan artis tanah air jika mendapat persetujuan penerbit.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata langkah berkenaan akan dipertimbangkan oleh kementerian dan dilaksanakan selepas mendapat kata sepakat majoriti penerbit filem atau drama.

"Ada beberapa perkara yang sedang diteliti kerana penggambaran dalam talian tidak memerlukan lesen pada masa ini. Jadi, perkara ini sedang diteliti dari segi peraturan.

"Sekiranya selepas berbincang dengan penerbit, mereka minta ada aspek kawal selia bagi disiplin pelakon, mungkin boleh diterapkan.

"Sebagai contoh, kalau persatuan atau penerbit minta dimasukkan satu klausa, maka itulah mekanisme untuk atasi isu masalah artis.

"Tapi masa ini kami belum pertimbangkan bagaimana untuk selesaikan.

"Mesti ada kesepakatan antara penerbit kerana mungkin ada setengah pihak yang hendak dan sesetengah lagi tidak. Perkara ini perlu dipersetujui bersama," katanya ditemui pada majlis iftar sempena Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jumaat lalu.

Fahmi berkata, pihaknya masih meneliti beberapa aspek sebelum memutuskan tindakan seperti 'gam' artis bermasalah daripada muncul dalam program televisyen (TV).

Bagaimanapun, katanya, kementerian cakna dengan kontroversi atau isu membabitkan salah laku artis, sejak akhir-akhir ini.

"Kami belum teliti perkara ini atau pertimbangkan langkah atau tindakan seperti 'gam' artis. Memang dari segi disiplin ada kesan, terutama kepada periuk nasi artis jika melampaui batas.

"Saya ambil maklum dan kementerian semestinya cakna, mungkin mengenai beberapa kontroversi yang membabitkan artis, baru-baru ini.

"Kami tidak boleh nafikan artis adalah pempengaruh walaupun melakukan sesuatu kes atau tidak.

"Saya lihat majoriti atau hampir semua artis tiada masalah. Tetapi mungkin dek nila setitik rosak susu sebelanga," katanya.

Fahmi tidak melepaskan peluang bertemu penggiat seni bertanya khabar. - Foto IG FINAS
Fahmi tidak melepaskan peluang bertemu penggiat seni bertanya khabar. - Foto IG FINAS

Penggiat industri kreatif mencadangkan artis bermasalah dan terpalit dengan isu moral dikenakan tindakan seperti digantung daripada muncul di kaca TV.

Antara bersuara adalah penerbit senior, Datuk A Aida dan Rashid Sibir dengan mencadangkan artis bermasalah dikenakan tindakan disiplin.

A Aida dan Rashid yang sudah berkecimpung dalam dunia seni sejak era 1990-an masing-masing menyarankan Kementerian Komunikasi campur tangan dengan memandang serius dan mengambil tindakan wajar bagi membendung isu salah laku artis.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, hukuman 'gam' artis dilihat kurang sesuai dilaksanakan kerana senario industri kreatif sudah berubah.

Namun, katanya, setiap artis perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan saling menasihati sesama mereka.

"Saya nampak mungkin kami boleh teliti beberapa aspek. Tetapi, saya harap artis boleh teliti apa yang boleh dinasihatkan kepada rakan artis lain.

"Harapan saya, kita tidak perlulah sampai ke tahap 'gam' seperti pernah lihat dahulu. Itu bagi saya, mungkin 1980-an atau 1990-an sesuai.

"Tetapi, zaman sekarang buka telefon bimbit pun nampak kisah artis.

"Jadi, kena cari jalan lebih murni dan sesuai dengan zaman sekarang. Namun, perlu juga ambil kira beberapa insiden yang berlaku," katanya.

Berita Harian X