Isnin, 25 March 2024 | 8:31am
Afgan tampil dalam Festival Aku, Muzik Dan Kamu 2.0 (AMK 2.0) yang bakal berlangsung di Johor Bahru pada 8 Jun depan. - Foto IG Afgan
Afgan tampil dalam Festival Aku, Muzik Dan Kamu 2.0 (AMK 2.0) yang bakal berlangsung di Johor Bahru pada 8 Jun depan. - Foto IG Afgan

Festival AMK 2.0 tampil sembilan pemuzik nusantara

KUALA LUMPUR: Bakal menggegarkan pentas di Malaysia buat kali pertama, kumpulan dangdut elektronik, Feel Koplo bimbang menantikan reaksi penonton.

Feel Koplo dianggotai oleh Maulfi Ikhsan dan Tendi Ahmad itu bakal mempersembahkan lagu remix ke nuansa dangdut pada acara Festival Aku, Muzik Dan Kamu 2.0 (AMK 2.0) yang bakal berlangsung di Johor Bahru pada 8 Jun depan.

Maulfi berkata, sedikit tertekan kerana peminat di Malaysia masih belum mengenali Feel Koplo.

"Ini adalah momen yang cukup dinantikan Feel Koplo. Kami belum pernah membuat persembahan di Malaysia dan Johor menjadi destinasi pertama untuk memperkenalkan muzik kami.

"Sebagai persiapan, Feel Koplo kini sedang membuat persiapan senarai khusus lagu sesuai dan menjadi pilihan orang Malaysia.

"Jujurnya, kami bimbang mahu mengadakan persembahan di Johor kerana Feel Koplo belum miliki pengalaman dan mungkin sedikit sahaja peminat mengenali kami.

"Tak dinafikan, lagu kami popular di YouTube, tetapi bukan bermakna semua orang mendengar muzik kami," kata Maulfi.

Kumpulan dangdut elektronik, Feel Koplo kali pertama menghiburkan peminat di Malaysia. - Foto IG Feel Koplo
Kumpulan dangdut elektronik, Feel Koplo kali pertama menghiburkan peminat di Malaysia. - Foto IG Feel Koplo

Kumpulan yang popular remix lagu pop ke aliran dangdut mungkin bakal meminta kebenaran mempersembahkan beberapa penyanyi Malaysia termasuk Kugiran Masdo pada acara itu.

Mengulas kenapa memilih lagu Kugiran Masdo, Tendi berkata, mereka cukup meminati lagu Dinda dan pernah bertemu kumpulan berkenaan di satu acara di Indonesia.

Selain Kugiran Masdo, Feel Koplo turut menyatakan hasrat meremix lagu Datuk Sheila Majid berjudul Sinaran dan Cindai (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

"Dua penyanyi itu sangat popular di Indonesia. Sejujurnya, kami sendiri cukup menggemari Sheila dan Siti dan berhasrat mempersembahkan lagu popular mereka.

"Belum ada lagi penyanyi yang keberatan untuk beri izin kepada kami membawakan lagu mereka. Kami terlebih dahulu berkomunikasi dengan penyanyi asal," katanya.

Selain Feel Koplo, festival yang dibawakan CoAction Events Sdn Bhd itu bakal menampilkan sembilan pemuzik nusantara dalam acara selama 10 jam tanpa henti di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor Bahru itu.

Antaranya, Ella, Exists, Kugiran Masdo, IamNeeta, Saixse dan Imran Ajmain.

Afgan dan Nidji turut diterbangkan khas dari Indonesia untuk menghiburkan peminatnya di Johor Bahru.

Berita Harian X