Sabtu, 23 March 2024 | 4:18pm
Sofia tenang dan positif dalam usia 52 tahun. - NSTP/Aiman Danial Mohd Hood Akhta
Sofia tenang dan positif dalam usia 52 tahun. - NSTP/Aiman Danial Mohd Hood Akhta

Sofia Jane digelar 'vampire', wajah tak dimamah usia

BANGI: Aktres Datin Sofia Jane bagai tidak dimamah usia dan tetap kelihatan jelita tanpa solekan dalam usia 52 tahun.

Digelar netizen sebagai 'vampire' membuatkan pelakon berdarah kacukan Melayu dan Inggeris itu tersipu malu.

Sofia berkata, dia tidak mempunyai tips istimewa.

"Vampire?, ia tidak betul. Saya berterima kasih dan bertalu-talu orang tanya saya pakai dan buat apa.

"Tapi, saya rasa orang tak sedar ia mengenai bagaimana hidup sebagai manusia dan apa yang dimahukan.

"Apa yang kita nak buat selama hidup di dunia ini? Apa yang nak bagi dan terima? Secara asasnya, saya cuba hidup sebaik mungkin.

"Makan dan bersenam sebaik mungkin, itu sahaja.

"Dengan harapan umur lebih panjang dan dapat buat banyak perkara baik dan bagus," katanya ketika ditemui pada majlis tahlil dan bacaan yasin sempena ulang tahun Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama pelakon filem Mencari Ramlee di Masjid Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Sofia bergandingan dengan Megat Shahrizal dan Tony Eusoff dalam filem Mencari Ramlee. - NSTP/Aiman Danial Mohd Hood Akhta
Sofia bergandingan dengan Megat Shahrizal dan Tony Eusoff dalam filem Mencari Ramlee. - NSTP/Aiman Danial Mohd Hood Akhta

Berkongsi lanjut, apabila ditanya bagaimana kekal positif, aktres yang namanya melonjak di persada seni selepas membintangi filem Perempuan, Isteri dan … arahan U-Wei Haji Saari pada 1993 itu berkata, sikap itu datang daripada neneknya.

"Saya rasa ia datang daripada arwah nenek. Beliau seorang wanita yang 'old fashioned', seperti mana semua nenek dan moyang kita sebelum ini.

"Sudah tentu ketika muda menganggap pemikiran nenek kolot, tapi bila sudah berumur kita faham maksud yang tersirat, terutama apabila bergelar ibu.

"Arwah seorang yang sangat tenang dan tidak banyak cakap. Mungkin saya dapat unsur positif itu daripadanya," katanya.

Berkongsi mengenai filem terbaharu lakonannya, Mencari Ramlee, Sofia berkata, dia seronok dapat menjayakan naskhah arahan sahabat lamanya, Megat Shahrizal.

"Saya menjayakan watak Zaiton dalam filem Mencari Ramlee. Filem ini dapat lihat empat watak utama bertemu iaitu watak Mimi Lana, Tony Eusoff, Megat Shahrizal dan saya.

"Apabila bertemu, mereka akan dapat lihat perbezaan dan persamaan empat watak ini yang berkait rapat dengan karya Allahyarham P Ramlee. Apabila watak saya dan Tony bertemu, kita juga akan lihat cuitan cinta.

"Kalau cakap soal cinta dalam filem selalunya dibawakan oleh orang muda, tapi filem ini memperlihatkan bagaimana orang matang bercinta.

"Megat tulis filem ini sudah lama dan ia adalah filem sulungnya. Bila dapat skrip, saya suka dengan perwatakan yang dibawakan.

"Saya cakap setuju juga disebabkan Megat adalah kawan baik dan saya suka bekerja bukan hanya dengan teman, tapi mereka yang suka melakukan perbezaan," katanya.

Mencari Ramlee selesai menjalani penggambaran dan kini dalam proses pasca produksi. Ia bakal ditayangkan di pawagam, penghujung tahun ini.

Berita Harian X