Sabtu, 23 March 2024 | 8:30am
Marsha cukup teruja menyanyikan single Macam Dulu-Dulu bersama Khai yang dianggap rakan seperjuangan. Foto Ihsan Alternate Records
Marsha cukup teruja menyanyikan single Macam Dulu-Dulu bersama Khai yang dianggap rakan seperjuangan. Foto Ihsan Alternate Records

Marsha, Khai Bahar hadiah peminat single Macam Dulu-Dulu

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi popular, Marsha Milan dan Khai Bahar dipilih menceriakan kempen Ramadan Raya 2024, iaitu 'RaRa Macam Dulu-Dulu' anjuran Media Prima Berhad (MPB).

Single berjudul Macam Dulu-Dulu boleh didengari di platform iTunes atau aplikasi penstriman dalam talian seperti Spotify dan YouTube Music sejak Isnin lalu.

Single Macam Dulu-Dulu dicipta Shazee Ishak dan Audi Mok mula memikat hati pendengar selepas dilancarkan menerusi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook (FB), @alternate.my_ di Instagram (IG), @alternate.rt_ di TikTok dan @AlternateRecords di YouTube, sejak Isnin lalu.

Marsha cukup teruja menyanyikan single Macam Dulu-Dulu bersama Khai yang dianggap rakan seperjuangan.

"Saya sangat gembira apabila dapat berduet dengan Khai. Walaupun kami sering berada di acara dan pentas sama, kami tidak pernah bekerjasama, apatah lagi, berduet.

"Bagi saya, lagu ini unik. Single ini menampilkan pelbagai elemen berbeza. Saya harap lagu ini dapat mencipta memori pendengar bersama keluarga dan rakan taulan sempena Ramadan dan Syawal," katanya.

Khai teruja apabila digandingkan dengan Marsha.

"Pada awalnya, saya terkejut. Saya teruja kerana Marsha dianggap ikon dengan vokalnya yang unik dan 'pitching' tinggi yang merdu.

"Gandingan istimewa ini memberi peluang keemasan kepada saya untuk meningkatkan lagi prestasi dan kreativiti diri.

"Apatah lagi, lagu ini dapat mengimbau memori indah di pagi Syawal seperti judulnya," katanya.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di FB, IG, TikTok dan YouTube.

Berita Harian X