Jumaat, 22 March 2024 | 9:31pm
Fahmi ketika ditemuramah media pada majlis iftar sempena Hari Seniman Negara 2024 di Kompleks FINAS, Hulu Klang, malam tadi. Foto NSTP Nur Raihana Alia
Fahmi ketika ditemuramah media pada majlis iftar sempena Hari Seniman Negara 2024 di Kompleks FINAS, Hulu Klang, malam tadi. Foto NSTP Nur Raihana Alia

Kementerian Komunikasi kaji tindakan terhadap artis terpalit isu moral

HULU KLANG: Kementerian Komunikasi masih meneliti beberapa aspek sebelum memutuskan tindakan seperti 'gam' terhadap artis bermasalah daripada muncul dalam program televisyen (TV).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kementerian cakna dengan kontroversi atau isu membabitkan salah laku artis sejak akhir-akhir ini.

"Kita belum teliti perkara ini atau pertimbangkan satu langkah (tindakan seperti 'gam' artis). Memang daripada segi disiplin, akan ada kesan terutama kepada periuk nasi artis jika mereka melampaui batas.

"Saya ambil maklum dan kementerian semestinya cakna, mungkin mengenai beberapa kontroversi yang melibatkan artis baru-baru ini.

"Kita tidak boleh nafikan artis adalah pempengaruh walaupun melakukan sesuatu (kes) atau tidak.

"Saya lihat majoriti atau hampir semua artis tidak ada masalah. Tetapi mungkin dek nila setitik rosak susu sebelanga," katanya ditemui pada majlis iftar sempena Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, malam tadi.

Fahmi berkata, hukuman 'gam' artis dilihat kurang sesuai dilaksanakan sekarang kerana senario industri kreatif sudah berubah. Namun, setiap artis perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan saling menasihati sesama mereka.

"Saya nampak mungkin kita boleh telilti beberapa aspek. Tetapi, saya harap artis boleh teliti apa yang boleh dinasihatkan kepada rakan artis lain.

"Harapan saya, kita tidak perlulah sampai ke tahap 'gam' seperti pernah lihat dahulu. Itu bagi saya, tahun 1980-an atau 1990-an sesuai. Tetapi, zaman sekarang, kita buka telefon bimbit pun nampak siaran (mengenai artis).

"Jadi, kita kena cari jalan yang lebih murni dan sesuai dengan zaman sekarang. Namun, perlu ambil kira beberapa insiden yang berlaku," katanya.

Gesaan 'gam' artis yang dilihat mempunyai masalah moral hangat diperdebatkan selepas media melaporkan artis berstatus suami orang, iaitu Aliff Aziz dan Ruhainies, dicekup berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara, baru-baru ini.

Penggiat industri kreatif mencadangkan artis bermasalah dan yang terpalit dengan isu moral dikenakan tindakan seperti digantung daripada muncul di TV.

Berita Harian X