Rabu, 20 March 2024 | 4:01pm
Izzue tak mahu masuk campur dan enggan menghakimi sesiapa kerana apa yang berlaku bukan urusannya. - NSTP/Genes Gulitah
Izzue tak mahu masuk campur dan enggan menghakimi sesiapa kerana apa yang berlaku bukan urusannya. - NSTP/Genes Gulitah

Usah bersikap lantang bicara aib orang

SHAH ALAM: Pelakon Izzue Islam selesa bersikap neutral dan tidak menolak bekerjasama dengan pelakon yang pernah terpalit dengan kontroversi meskipun pendiriannya bakal mengundang risiko.

Bahkan, kata Izzue, dia juga tidak mahu masuk campur dan enggan menghakimi sesiapa kerana apa yang berlaku bukan urusannya.

"Kalau tawaran berlakon datang dan digandingkan dengan artis dihambat kontroversi, saya tidak kisah. Saya anggap itu rezeki.

"Kenapa nak kena tolak tawaran, sedangkan pelakon berkenaan tiada masalah dengan saya?

"Saya tak suka bermusuh atau mengasingkan diri. Mungkin artis itu bermasalah, tapi dia tiada masalah dengan saya.

"Saya terima sahaja kalau gandingan atas kehendak produksi ataupun permintaan stesen TV sama ada drama, produk ataupun apa-apa acara.

"Lagipun, kita tidak duduk dalam kasut mereka dan tak tahu perkara sebenar. Justeru, tak perlulah kita tuding jari kepada sesiapa," katanya kepada BH Online.

Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan mengulas kontroversi membabitkan isu pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies ditangkap khalwat, baru-baru ini.

Tambah pelakon drama bersiri, Helo, Saya Anak Uncle! itu, dia juga bimbang bersikap lantang dalam membicarakan aib orang lain kerana tidak mahu perkara itu memakan diri sendiri.

"Jujurnya, perasaan risau tetap ada. Perasaan itu juga perlu ada dalam setiap orang supaya kita lebih peka dalam setiap keadaan. Kenapa saya tidak lantang bersuara mengenai kontroversi ini kerana bimbang orang akan 'tembak' semula bila perkara sama berlaku kepada saya.

"Sekarang ini rakan sedang diuji, tak kiralah siapa salah, benar atau memulakannya. Jadi, kita doakan semoga mereka dapat jalani ujian dengan baik dan semuanya dipermudahkan.

"Kalau asyik nak cakap perkara yang sama, ia takkan habis. Takut juga kalau terus bercakap dan berada dalam keadaan tertekan, kita pula dituduh menjadi punca masalah kesihatan mental berlaku," ujarnya ditemui pada majlis berbuka puasa bersama peminat di sebuah kafe, di sini, baru-baru ini.

Izzue bersama anggota Forteen, Ameer dan One pada majlis berbuka puasa bersama peminat di Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Genes Gulitah
Izzue bersama anggota Forteen, Ameer dan One pada majlis berbuka puasa bersama peminat di Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Genes Gulitah

Antara yang hadir memeriahkan acara itu adalah anggota Forteen, Ameer dan One serta pelakon Shahidan Izwan.

Sempena Ramadan tahun ini, Izzue memaklumkan tumpuan diberikan kepada tugas pengacaraan, selain mempromosikan single baharu berjudul Suka Sama Suka.

"Untuk tahun ini saya agak selektif. Kebanyakan penggambaran drama sudah disiapkan lebih awal. Jadi, fokus saya lebih kepada pengacaraan.

"Single Suka Sama Suka baru sahaja dilancarkan dan ia adalah lagu tema untuk drama Hello, Saya Anak Uncle! yang disiarkan siarkan di TV3 sempena Ramadan," ungkapnya

Berita Harian X