Rabu, 20 March 2024 | 8:30am
Azmir (duduk tiga dari kiri) pada kelas pakar (masterclass) dokumentari bersama pemenang Oscar kategori Dokumentari Terbaik di Auditorium MyIPO, Petaling Jaya, Jumaat lalu. - Foto Ihsan FINAS
Azmir (duduk tiga dari kiri) pada kelas pakar (masterclass) dokumentari bersama pemenang Oscar kategori Dokumentari Terbaik di Auditorium MyIPO, Petaling Jaya, Jumaat lalu. - Foto Ihsan FINAS

Belajar daripada juara Oscar

KUALA LUMPUR: Sebagai usaha membawa industri penerbitan filem dokumentari tempatan ke peringkat global, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjalin kerjasama dengan pengarah naskhah yang memenangi Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95, The Elephant Whisperers, iaitu Kartiki Gonsalves.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata beliau yakin kerjasama itu akan membawa sinergi dan memberi impak positif kepada industri perfileman Malaysia.

Malah, katanya, secara keseluruhan pemahaman mengenai proses dan jaringan perniagaan adalah kunci dalam menghasilkan dokumentari terbaik.

"Ilmu yang diperoleh daripada perjalanan penerbitan The Elephant Whisperers, bermula praproduksi hingga kempen Oscars, memberi inspirasi dan boleh membentuk masa depan penerbitan filem dokumentari di Malaysia.

"Perkongsian teraju utama dokumentari itu bersama pengarahnya, Gonsalves; pengarah fotografi, Krish Makhija dan editor, Sanchari Molick Das mampu menjadi panduan berharga kepada pembikin dokumentari tempatan merintis kejayaan ke peringkat antarabangsa," katanya pada kelas pakar (masterclass) dokumentari bersama pemenang Oscar kategori Dokumentari Terbaik di Auditorium MyIPO di Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Program anjuran bersama FINAS dan Universal Zest Sdn Bhd itu dihadiri 85 peserta daripada pelbagai latar belakang dalam industri kreatif tempatan.

Turut memberi ceramah pada program itu ialah penerbit dokumentari tempatan, Ahmad Yazid yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam penerbitan dokumentari untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Azmir berkata, FINAS sentiasa komited dalam melaksanakan program pembangunan modal insan melalui Bahagian Pembangunan Industri.

"Di bawah Unit Latihan Industri, pelbagai program ditawarkan seperti bengkel, masterclass, program apresiasi filem dan seminar.

"Inisiatif ini direka bagi memenuhi keperluan profesional berpengalaman dan bakat baharu dalam industri filem," katanya.

Azmir yakin kerjasama bersama Gonsalves membawa sinergi dan memberi impak positif kepada industri perfileman Malaysia. - Foto Ihsan FINAS
Azmir yakin kerjasama bersama Gonsalves membawa sinergi dan memberi impak positif kepada industri perfileman Malaysia. - Foto Ihsan FINAS

Gonsalves dalam perkongsiannya menasihati pembikin filem agar sentiasa berusaha melahirkan karya yang boleh menarik semua golongan penonton.

Tambahnya, antara konsep yang boleh diketengahkan adalah berkisar alam semula jadi dan kehidupan haiwan liar, biarpun projek seumpama itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

"Saya ambil masa enam tahun menyiapkan The Elephant Whisperers. Walaupun menempuh pelbagai cabaran, saya terus mencuba dan akhirnya diterima Netflik Asia Pasifik.

"Saya hargai kepercayaan Netflix, walaupun tiada pengalaman dalam penerbitan filem.

"Namun, pengalaman dalam bidang fotografi serta kepakaran kru teknikal, termasuk pengarah fotografi dan editor, banyak membantu saya menyiapkan filem ini sehingga berjaya memenangi Oscars," katanya.

Gonsalves adalah pengarah dan jurukamera wanita kelahiran India yang pernah berkhidmat sebagai pengendali kamera untuk dua saluran televisyen (TV) popular Amerika Syarikat iaitu Animal Planet dan Discovery Channel.

Menerusi Oscars Ke-95, air tangan Gonsalves membuahkan hasil apabila The Elephant Whisperers mengungguli kategori Dokumentari Pendek Terbaik menewaskan empat calon lain iaitu Haulout, How Do You Measure a Year?, The Martha Mitchell Effect dan Stranger at the Gate.

The Elephant Whisperers yang mula ditayangkan di platform penstriman, Netflix pada 8 Disember 2022 mengisahkan pasangan Bomman dan Bellie yang diamanahkan menjaga anak gajah terbiar di India bernama Raghu.

Berita Harian X