Selasa, 19 March 2024 | 1:01pm
Aida berpendapat pengajaran atau hukuman perlu diberi kepada artis bermasalah bagi mengelak anak seni lain terkena tempias. Foto IG A Aida
Aida berpendapat pengajaran atau hukuman perlu diberi kepada artis bermasalah bagi mengelak anak seni lain terkena tempias. Foto IG A Aida

Pembikin filem, drama syor 'gam' artis bermasalah

KUALA LUMPUR: Penerbit 'senior' iaitu Datuk A Aida dan Rashid Sibir mencadangkan artis yang mempunyai masalah sikap dan terpalit isu moral, dikenakan tindakan disiplin dengan digam atau digantung daripada muncul di televisyen (TV).

A Aida dan Rashid yang sudah berkecimpung dalam dunia seni sejak era 1990-an masing-masing menyarankan Kementerian Komunikasi campur tangan dengan memandang serius dan mengambil tindakan wajar bagi membendung isu salah laku artis.

A Aida atau nama sebenar, Zaidah Awang yang juga pengasas syarikat penerbitan, A Aida Production Sdn Bhd berkata, pengajaran atau hukuman perlu diberi kepada artis bermasalah bagi mengelak anak seni lain terkena tempias.

"Bagi saya, artis yang terbabit isu dadah, khalwat, tangkap basah, mabuk dan apa sahaja yang boleh mencemarkan industri kreatif, haruslah diberi pengajaran.

"Setahu saya, kalau dahulu, RTM 'gam' artis bermasalah selama tiga tahun. Jadi, saya seru kepada kerajaan untuk ambil tindakan begitu.

"Ini akan beri pengajaran kepada artis lain untuk berwaspada dan menjaga tingkah laku dalam industri seni.

"Kalau tiada sebarang tindakan diambil, artis tidak takut untuk buat perkara salah. Jadi, untuk elak industri kreatif daripada dicemari artis bermasalah, eloklah tindakan sewajarnya diambil ke atas mereka," katanya kepada BH Online.

A Aida mengandaikan hanya satu peratus artis bermasalah dalam industri kreatif dan kelompok itulah yang perlu dihukum supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

"Apabila kerajaan senarai hitamkan artis bermasalah, jadi, secara tidak langsung, stesen TV perlu ikut. Seingat saya, pada awal berkecimpung dalam industri ini, bila ada artis yang 'digam', stesen TV akan ikut.

"Perkara ini menjadi satu kemestian dan harus dilaksanakan. Apabila tiada tindakan, artis bermasalah ini dapat keluar di TV. Jadi, artis lain pun berpandangan, tidak akan ada apa-apa tindakan jika mereka buat masalah," katanya.

Pada masa sama, A Aida menasihati artis supaya menjaga tingkah laku dan menunjukkan sikap baik kerana mereka menjadi tumpuan khalayak.

"Kalau boleh perlu ada undang-undang kerana artis adalah idola yang menjadi tumpuan masyarakat. Jadi, mereka perlu tunjukkan contoh baik.

"Saya sejak mula-mula jadi penerbit, ambil tindakan 'gam' artis bermasalah kerana mahu memberi pengajaran kepada yang lain.

"Itu pendirian saya dari dahulu lagi. Bagaimanapun, untuk mengambil langkah itu, semuanya bergantung kepada kuasa Kabinet. Saya hanya boleh suarakan pendapat sahaja," katanya.

Isu penggantungan terhadap artis menjadi topik hangat selepas media melaporkan artis berstatus suami orang, iaitu Aliff Aziz dan pasangannya, pelakon wanita, Ruhainies, dicekup berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara, baru-baru ini.

Rentetan itu, penggiat industri kreatif mencadangkan agar artis bermasalah dan terbabit dengan isu moral dikenakan tindakan seperti digantung daripada muncul di TV.

Rashid berpendapat tindakan ‘gam’ artis bermasalah termasuk yang berpotensi memberi pengaruh negatif, wajar dilaksanakan semula seperti dilakukan RTM, suatu ketika dahulu. Foto NSTP Sairien Nafis
Rashid berpendapat tindakan ‘gam’ artis bermasalah termasuk yang berpotensi memberi pengaruh negatif, wajar dilaksanakan semula seperti dilakukan RTM, suatu ketika dahulu. Foto NSTP Sairien Nafis

Rashid berpendapat tindakan 'gam' artis bermasalah termasuk yang berpotensi memberi pengaruh negatif, wajar dilaksanakan semula seperti dilakukan RTM, suatu ketika dahulu.

Artis adalah idola masyarakat, ramai yang suka dan mahu ikut. Jadi, seseorang artis perlu ada imej bersih dan tunjuk sikap positif. Kalau diri sendiri 'kotor', bagaimana hendak beri contoh yang baik kepada masyarakat?

"Kalau lihat pada era 1990-an, artis berambut panjang atau berkhalwat RTM 'gam' mereka. Pada saya, tindakan sebegitu wajar dilaksanakan semula agar artis lebih takut dan tidak sewenang-wenang membuat perkara tidak baik.

"Artis bukan sahaja perlu baik daripada segi imej, tetapi perlu tekankan soal tingkah laku. Kalau didapati bersalah, bagi saya, wajar dihukum," katanya.

Rashid yang meraih trofi Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) 1997 setuju jika garis panduan dikeluarkan Kementerian Komunikasi berhubung bentuk hukuman kepada artis bermasalah yang membuat kesalahan.

Tambahnya, artis yang akan diambil menjayakan projek perlu diselidik dan penilaian dibuat bergantung kepada sikap mereka sama ada banyak melakukan kesalahan atau sebaliknya.

"Apabila ada satu garis panduan kepada artis, mereka akan takut untuk buat perkara tidak baik. Artis juga akan lebih berhati-hati dan menjaga maruah. Seperkara yang perlu diingat, apabila masuk dalam industri kreatif, perlu jaga imej dengan baik.

"Jadi, pandangan saya, artis yang bermasalah seperti ditangkap khalwat perlu 'digam' selama setahun atau enam bulan.

"Kementerian perlu keluarkan garis panduan sebagai usaha membendung isu salah laku dalam kalangan artis semakin berleluasa.

"Kalau cakap sahaja, tidak beri kesan. Dengan adanya garis panduan, stesen TV akan ambil tindakan wajar terhadap artis bermasalah," katanya.

Berita Harian X