Isnin, 18 March 2024 | 2:00pm
Rosnah menasihatkan artis zaman sekarang tidak sengaja mencipta kontroversi untuk menaikkan nama dan sebolehnya pihak berwajib siasat dahulu sesuatu kejadian sebelum menjatuhkan hukuman. - Foto IG Rosnah Mat Aris
Rosnah menasihatkan artis zaman sekarang tidak sengaja mencipta kontroversi untuk menaikkan nama dan sebolehnya pihak berwajib siasat dahulu sesuatu kejadian sebelum menjatuhkan hukuman. - Foto IG Rosnah Mat Aris

Saya cepat melatah, tak sedar ayat keluar secara spontan - Rosnah

KUALA LUMPUR: Turut melalui episod digam stesen televisyen (TV) adalah pelawak dan dramatis terkenal, Rosnah Mat Aris.

Rosnah berkata, ada kontroversi sengaja dilakukan demi meraih populariti, namun apa yang berlaku kepada dirinya bukan direka atau disengajakan.

"Tak semua kejadian memerlukan stesen TV gam atau gantung seseorang artis, ia juga terserah atas budi bicara kerana itu hak stesen penyiaran.

"Apa yang berlaku kepada saya bukan perkara yang dirancang nak jadi. Kes saya berbeza dengan orang lain yang sengaja buat cerita bukan-bukan.

"Saya tak merancang melontarkan kata-kata tidak sepatutnya. Saya seorang yang cepat latah dan bila ayat dikeluarkan spontan, saya tidak sedar.

"Tapi, saya tahu dan katakan kepada Allah jika saya bersalah, hukumlah saya. Saya serah semuanya pada Allah," katanya kepada BH Online.

Rosnah berkata, meskipun digam oleh RTM, namun tetap menerima panggilan berlakon drama dan sebagainya.

"Semua ini berlaku hampir 20 tahun lalu. Alhamdulillah, masih ada yang memanggil saya berlakon kerana zalimlah sekiranya tidak memberikan kerja pada insan teraniaya," katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Rosnah menasihatkan agar artis zaman sekarang tidak sengaja mencipta kontroversi untuk menaikkan nama dan sebolehnya pihak berwajib siasat dahulu sesuatu kejadian sebelum menjatuhkan hukuman.

"Ada dalam kalangan kita mahu mencari populariti dan ada juga yang menjaga kerana ini adalah punca rezeki. Seperti saya, bekerja cari rezeki dan apabila ada sesuatu berlaku, kena selidik dulu.

"Jangan pakai gam dan menjatuhkan hukuman. Ini bila dengar pendapat dari mana-mana, terus gam. Sedihlah bila jadi begitu," katanya.

Terdahulu, keceluparan pelakon komedi wanita terkenal itu dalam program Sensasi terbitan TV3 bukan hanya membawa padah kepada dirinya, malah turut menjejaskan rancangan bual bicara itu.

Ia berikutan keputusan kerajaan mengharamkan terus penyiaran program TV itu, hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Siaran Televisyen dan Radio Awam dan Swasta membabitkan wakil dari 14 kementerian dan agensi berkaitan pada 27 Februari 2007.

Berita Harian X