Isnin, 18 March 2024 | 10:01am
Rambut Awie dipotong oleh Mohamed pada acara yang disiarkan secara langsung di RTM pada November 1992.
Rambut Awie dipotong oleh Mohamed pada acara yang disiarkan secara langsung di RTM pada November 1992.

Usah cipta kontroversi hanya untuk naikkan nama

KUALA LUMPUR: Artis kena 'gam' atau 'disenarai hitam' oleh sesebuah stesen televisyen (TV) bukanlah isu luar biasa.

Sejak dahulu, artis bermasalah termasuk terkait dengan isu jenayah, mahkamah, kurang sopan di khalayak, dadah, khalwat dan macam-macam kes silih berganti hingga digam stesen TV kerajaan mahupun swasta.

Bukan setahun dua, malah bertahun-tahun ada artis diboikot dan tidak boleh masuk TV, lagu digam di stesen radio dan paling malang, kerajaan tidak mengeluarkan permit jika mahu mengadakan konsert.

Paling diingati pada era 1980-an penampilan kumpulan rock berimej rambut panjang mengundang ketidakselesaan ramai, lalu dibantah keluar stesen RTM pada 1988.

Ia termasuklah tidak membenarkan kumpulan berpakaian tidak rapi atau berambut panjang ditonjolkan dalam stesen RTM kecuali bersedia memotong rambut dan berpakaian kemas.

Mengiyakan hakikat itu, vokalis Wings, Datuk Awie berkata, dia dan rakan-rakannya yang memperjuangkan imej rambut panjang digam pada awal pembabitan dalam dunia arus perdana.

"Berdasarkan pengalaman, kami bermula sahaja sudah terus digam. Rasanya lima tahun juga tak boleh keluar TV sejak 1987.

"Namun, ada juga undangan diterima disebabkan ada permintaan ramai.

"Jadi, kami hanya dipanggil bila diperlukan sahaja. Disebabkan itu, adalah sekali dua keluar TV.

"Stesen TV pun tak banyak, jadi bila pilihan artis tak banyak, mereka terpaksa memanggil kami.

"Perit juga bila kena gam, lebih lagi pada zaman tidak ada banyak platform. Lagu tak boleh berkumandang di stesen radio, TV pula tak boleh masuk," katanya ketika BH Online.

Awie berpendapat, setiap artis perlu hidup dalam keterbatasan dan jaga tingkah laku. - Foto NSTP
Awie berpendapat, setiap artis perlu hidup dalam keterbatasan dan jaga tingkah laku. - Foto NSTP

Bagaimanapun, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, dia dan rakan-rakannya terpaksa akur dengan syarat tak boleh berimej rambut panjang di kaca TV.

"Tak mungkin lupa kenangan rambut saya dan vokalis Search, iaitu Datuk Amy dipotong oleh bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat pada acara yang disiarkan secara langsung di RTM pada November 1992

"Jadi, saya sudah lalui fasa itu dan sekarang kita semakin bebas mengikut peredaran zaman. Tapi, jangan gunakan kebebasan tanpa had, perlulah ikhtiar nak jaga diri," katanya.

Tambah Awie, setiap artis perlu hidup dalam keterbatasan dan jaga tingkah laku.

"Bekerja dengan orang, ada yang sukakan dan sebaliknya. Jadi keterbatasan itu perlu dilalui.

"Jadi, saya boleh beri pandangan dan pendapat supaya jaga maruah dan diri dengan pengalaman ada. Tunjukkan contoh baik-baik," ujarnya.

Berita Harian X