Isnin, 18 March 2024 | 8:31am
Zed sarankan kelonggaran seharusnya diberikan kepada pelakon beragama Islam merangkumi pelepasan awal berbuka puasa, menunaikan solat Tarawih dan bersahur. - Foto NSTP
Zed sarankan kelonggaran seharusnya diberikan kepada pelakon beragama Islam merangkumi pelepasan awal berbuka puasa, menunaikan solat Tarawih dan bersahur. - Foto NSTP

Beri kelonggaran waktu kerja artis pada Ramadan

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menyeru seluruh penggiat industri seni kreatif tanah air supaya menghormati bulan Ramadan dengan memberi kelonggaran kepada umat Islam ketika menjalani penggambaran.

Zed menjelaskan, kelonggaran seharusnya diberikan produksi kepada barisan pelakon beragama Islam merangkumi pelepasan awal untuk berbuka puasa, menunaikan solat Tarawih dan bersahur.

Katanya, biarpun setiap naskhah mempunyai babak siang dan malam, produksi juga perlu bijak dalam membuat susun atur jadual baharu dan lebih sistematik bagi memudahkan urusan ibadah penggiat seni beragama Islam.

"SENIMAN beri saranan setiap kali bulan Ramadan. Kita sebagai penggiat seni kena menghormatinya kerana ini adalah bulan untuk umat Islam beribadah.

"Aspek perlu diberi penekanan dalam bulan mulia ini, terutama waktu bekerja sekiranya terkait dengan masa berbuka puasa. Kalau boleh habiskan penggambaran atau rutin lain sebelum berbuka lebih baik.

"Tapi saya faham setiap proses pembikinan naskhah ada waktu penggambaran sudah ditetapkan, termasuk mempunyai babak siang dan malam.

"Jadi, dalam bulan ini kena buat jadual khusus sebab ia membabitkan waktu sahur dan Tarawih. Sepatutnya bulan Ramadan ini jadualnya perlulah berbeza," katanya.

Zed berkata, kebanyakan produksi sudah memahami apa yang perlu dilaksanakan dalam Ramadan, namun sebagai badan bertanggungjawab dalam urusan membabitkan penggiat seni, pihaknya tidak pernah jemu memberi saranan sama setiap tahun.

"Susun atur jadual sangat penting. Kebiasaannya produksi bila masuk sahaja Ramadan, jadual yang dibuat akan berbeza berbanding bulan lain.

"Mereka memahami perkara itu cuma saranan SENIMAN yang sering diberikan setiap tahun supaya menghormati bulan ini dengan bagi ruang kepada kru dan pelakon beragama Islam untuk beribadah," katanya.

Dalam pada itu, Zed menasihati kepada semua pelakon menghindari cinta lokasi yang berpotensi membawa implikasi tidak baik kepada industri, selain menegaskan masing-masing perlu bertindak secara profesional.

"Bila masuk dalam set penggambaran kita perlu bertindak profesional. Pelakon dan kru perlu profesional, lebih lagi, dalam bulan Ramadan, maka perlu memperbanyakkan ibadah.

"Kalau buat benda pelik orang akan pandang industri ini tidak baik.

"Ini perlu dipandang serius semua pihak, terutama golongan artis muda. Kita masih pada peringkat kajian mengenai garis panduan.

"Kalau sudah siap dan mendapat kelulusan Kementerian Komunikasi, maka semua perlu ikut.

"Sekarang tak boleh paksa, jadi dalam bulan puasa ini bertindaklah secara profesional sebab perlu ambil kira adab dan sensitiviti agama di dalam bulan mulia ini," katanya.

Zed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berkata, hubungan percintaan yang dilakonkan tidak seharusnya dibawa keluar.

"Kadang-kadang cinta lokasi ini terjadi sebab pelakon ini hendak jadi terlalu 'method'. Kalau boleh bezakan keadaan profesional dan realiti. Mungkin ada yang beranggapan kena ada hubungan di luar supaya boleh bawa dalam watak, tapi itu salah.

"Kita kena bersikap profesional, bukan kena bawa hubungan sampai keluar. Kena lihat dari sudut profesionalisme dan kembali kepada etika digariskan.

"Kena lihat semula, cara bekerja untuk mencari rezeki atau buat hal. Kalau bekerja cari rezeki, maka buatlah cara sepatutnya. Kekalkan semangat profesionalisme dalam bekerja," katanya.

Berita Harian X