Ahad, 17 March 2024 | 3:01pm
Rizman (kiri) dan Ruzaini (kanan) bersama barisan artis yang hadir majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi, semalam. - Foto IG Rizman Ruzaini
Rizman (kiri) dan Ruzaini (kanan) bersama barisan artis yang hadir majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi, semalam. - Foto IG Rizman Ruzaini

Rizman Ruzaini elak ambil artis kontroversi

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen duo terkenal, Rizman Ruzaini enggan mencampuri urusan peribadi membabitkan artis kontroversi, Aliff Aziz biarpun menjadi wajah ilham (muse) koleksi Aidilfitri tahun ini.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan jenama fesyen berkenaan, Rizman Nordin berkata, dia sebolehnya cuba mengelak kontroversi dengan menjalankan pekerjaan seperti biasa.

"Kami dari dulu tak masuk campur urusan peribadi 'muse'. Kami seboleh-boleh tak nak ada kontroversi.

"Kalau tengok adalah sikit komen di Instagram (IG) yang negatif. Tapi kalau nampak saya padam dan sekat. Ini rumah saya, kalau orang datang mencemarkan saya akan buat begitu.

"Kami tak terkesan sebab selebriti kami ramai, Kedua, koleksi kami sangat besar, jadi tidaklah tercalit sangat pada kami.

"Dia (Aliff) bukan wajah utama untuk kempen Aidilfitri tahun ini," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Rumah Tangsi, di sini, semalam.

Rizman menjelaskan, kerjasama dengan Aliff hanya untuk sesi fotografi, isteri Aliff, Bella Astillah mempunyai komitmen tambahan bersama jenama mereka.

"Kerjasama dengan Aliff semasa sesi fotografi itu sahaja. Tapi, untuk Bella kita ada 'meet and greet' bersama pembeli. Kalau hendak ikutkan sebelum pemilihan artis kami sudah tapis untuk elak kontroversi.

"Sebabnya, perkara itu akan beri kesan kepada imej sesebuah jenama. Kami memasarkan perniagaan jadi tak boleh ada isu-isu kontroversi.

"Kami tak percaya ungkapan mengatakan kontroversi buruk adalah taktik pemasaran. Saya percaya semuanya kerana hasil kerja," katanya.

Berita Harian X