Sabtu, 16 March 2024 | 1:58pm
Habsah kini menjadikan Restoran Puteri Penchala yang diusahakannya sebagai satu-satunya sumber rezeki. Foto NSTP
Habsah kini menjadikan Restoran Puteri Penchala yang diusahakannya sebagai satu-satunya sumber rezeki. Foto NSTP

Kak Chah tak pernah terfikir tutup restoran

KUALA LUMPUR: Penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan tidak pernah terfikir menutup restoran yang diusahakan sejak hampir dua dekad lalu biarpun berdepan pelbagai cabaran.

Habsah atau lebih akrab disapa Kak Chah berkata, selain sayangkan perniagaan itu, Restoran Puteri Pencala yang beroperasi sejak 2006, menjadi satu-satunya punca rezekinya sekarang.

"Tidak dinafikan dengan harga barangan yang semakin meningkat memberi tekanan buat peniaga makanan seperti kami.

"Namun, saya tidak pernah terfikir menamatkan operasi kerana restoran ini ada segala-galanya.

"Restoran ini ada dewan makan yang besar pada bahagian bawah dan atas. Selain itu, kita ada peralatan yang lengkap, tukang masak berpengalaman dan enam pekerja sepenuh masa.

"Lagipun, ini adalah satu-satunya bisnes saya yang masih aktif. Syarikat produksi saya, iaitu Serangkai Filem Sdn Bhd masih ada tetapi sudah lama tiada 'job'," katanya kepada BH Online pada majlis berbuka puasa di Restoran Puteri Pencala, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Acara tahunan itu turut dihadiri Fauziah Ahmad Daud; Zaiton Sameon; penyanyi dan penyampai Kool 101, Haiza; penyampai IKIMfm, Tyzo; Putra Amaris dan komposer Helen Yap.

Biarpun berdepan kekangan, namun, Habsah yang menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, enggan mengaku kalah.

Sempena bufet Ramadan, Habsah sanggup menurunkan harga bufet biarpun ramai menentang hasratnya itu.

"Bagi saya, biarlah untung sederhana asalkan ramai orang datang. Ini lebih baik daripada hendak untung banyak, tetapi tiada pelanggan," katanya.

Restoran Puteri Penchala menyediakan lebih 20 menu masakan kampung yang menjadi tanda dagang restoran berkenaan, sepanjang Ramadan ini.

Berita Harian X