Sabtu, 16 March 2024 | 11:33am
Zarina sedih atas kontroversi menimpa Aliff Aziz, Bella Astillah dan Ruhainies serta berharap orang ramai tidak terlalu kejam mengkritik mereka. - Foto IG Zarina Zainuddin
Zarina sedih atas kontroversi menimpa Aliff Aziz, Bella Astillah dan Ruhainies serta berharap orang ramai tidak terlalu kejam mengkritik mereka. - Foto IG Zarina Zainuddin

Sayang angkara lelaki, perempuan bergaduh - Zarina Zainuddin

KUALA LUMPUR: Zarina Zainuddin, 53, menasihatkan pelakon lelaki dan wanita meletakkan jurang antara satu sama lain ketika berada di lokasi penggambaran.

Zarina atau nama sebenar, Nur Zarina Mohd Zainuddin berkata, langkah itu wajar diamalkan lebih-lebih lag berganding dengan pelakon berstatus suami atau isteri orang.

"Kena ada 'gap' (batasan) ketika 'shooting' drama. Kena ada ketegasan antara pelakon lain. Contohnya, kita kena tegas apabila ada pelakon lelaki atau perempuan hendak main-main ayat cinta dengan kita.

"Kadang-kadang, apabila pelakon lelaki bagi ayat cinta, boleh buat si perempuan 'cair' sampai jatuh cinta. Jadi, kita sebagai pelakon wanita, kena tegas.

"'Keserasian atau 'chemistry' itu bina di set penggambaran, selepas itu tidak payah. Walaupun kita kawan baik atau kawan lama sekalipun, tidak boleh rapat dengan pelakon yang sudah berpunya. Kita tahu semua itu bahaya, jadi kita kena elak," katanya kepada BH Online.

Zarina berkata, pelakon lelaki berstatus suami sepatutnya lebih menjaga tingkah laku dan tidak terlalu rapat dengan gandingan wanita di lokasi penggambaran.

"Suami orang, kena pandai bawa diri. Sebab itulah di tempat 'shooting', kita kena kasar sikit. Tidak boleh lembut sangat.

"Dahulu saya pun ada orang yang hendak mencuba. Tetapi saya isteri orang, kena jaga. Itu tempat kita cari makan, kenapa hendak cari masalah di tempat kita cari rezeki," katanya.

Zarina yang membintangi drama Teduhan Kasih juga menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu kejam terhadap Ruhainies dan Aliff Aziz yang sedang diuji Allah.

"Sebagai manusia, jangan terlampau kejam. Kena fikir situasinya… Ini ujian untuk dia. Kita belum tahu lagi hidup. Engkau ada anak perempuan dan keluarga. Usah kata orang, nanti kena batang hidung sendiri baru tahu," katanya.

Zarina sedih atas apa yang terjadi kepada Ruhainies dan isteri Aliff, Bella Astillah kerana percaya mereka mempunyai karakter yang baik dan disenangi ramai.

"Sayang hubungan antara kawan baik sebab mereka rapat. Sayang sebab lelaki, perempuan bergaduh. Jadi lelaki kena jaga, jangan salahkan perempuan kalau tindak balas dia mengundang rasa hendak dekat dengan dia.

"Melihat keadaan ini buat saya jadi sedih sebab saya sayang kedua-duanya. Bella saya sayang dan Ruhainies pun begitu. Saya fikir sayangnya bila jadi begini kerana mereka budak yang baik," katanya.

Berita Harian X