Jumaat, 15 March 2024 | 3:53pm
Wan Raja mengaku sejak dahulu lagi mengelak daripada terbabit dengan isu cinta lokasi. Foto Ihsan Wan Raja
Wan Raja mengaku sejak dahulu lagi mengelak daripada terbabit dengan isu cinta lokasi. Foto Ihsan Wan Raja

Wan Raja cari serasi di set penggambaran, bukan luar lokasi

KUALA LUMPUR: Aktor Wan Raja, 46, berpegang prinsip mencari keserasian dengan pelakon gandingan dalam waktu bekerja, iaitu di set penggambaran, bukannya di luar lokasi.

Wan Raja atau nama sebenar, Saiful Redzuan Abu Bakar berkata, keserasian yang mahu dibentuk dengan pelakon gandingan hanya diusahakan ketika sama-sama bekerja di set penggambaran.

"Saya bukanlah jenis orang yang kalau hendak bina keserasian, cari masa di luar set penggambaran atau pergi lepak minum dan kenal hati budi... Saya bukan begitu.

Wan Raja menjelaskan keserasian yang mahu dibentuk dengan pelakon gandingan hanya diusahakan ketika sama-sama bekerja di set penggambaran. Foto Ihsan Wan Raja
Wan Raja menjelaskan keserasian yang mahu dibentuk dengan pelakon gandingan hanya diusahakan ketika sama-sama bekerja di set penggambaran. Foto Ihsan Wan Raja

"Saya orangnya berterus terang dan hanya buat apa yang perlu ketika waktu bekerja," katanya pada sidang media drama baharu lakonannya, Malang Si Puteri secara virtual, semalam.

Wan Raja yang berganding dengan Fasha Sandha dalam drama terbitan syarikat produksi, Radius One Sdn Bhd itu mengaku mengelak daripada terbabit dengan isu cinta lokasi.

"Saya dan Fasha sudah banyak kali bekerjasama dalam drama. Malah, isteri saya (Yaya Maembong) juga terbuka jika kami digandingkan bersama.

"Banyak kali kami bekerjasama dan tidak ada isu 'sondol-menyondol'. Isteri saya pun kalau tahu saya berlakon dengan Fasha, dia okay kerana kenal Fasha.

"Begitu juga suami Fasha (Aidil Aziz), dia tidak ada masalah jika kami berlakon bersama. Saya dan Fasha memang rapat, jadi keserasian itu sudah sedia ada," katanya.

Dalam drama Malang Si Puteri, Wan Raja membawa watak Arman yang menjadikan Puteri lakonan Fasha sebagai perempuan simpanan.

Selain Wan Raja dan Fasha, drama arahan Uchee Fukada itu dibintangi Raja Azura, Hafreez Adam, Malek McCrone dan Aidit Noh.

Malang Si Puteri yang dijadual bersiaran sebanyak 50 episod sudah ditayangkan sejak Isnin lalu di Astro Ria.

Berita Harian X