Jumaat, 15 March 2024 | 11:01am
Putra Amaris dan Tyzo mahu cari lebih ramai golongan asnaf dan rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan. - NSTP/Sadiq Sani
Putra Amaris dan Tyzo mahu cari lebih ramai golongan asnaf dan rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan. - NSTP/Sadiq Sani

Gabungan Tyzo, Putra Amaris gerak program amal

KUALA LUMPUR: Pengalaman melalui zaman susah hingga tidak mampu membeli susu anak membuka hati pelakon dan penyanyi, Putra Amaris untuk menggerakkan program amal, Share Rezeki sejak empat tahun lalu.

Menyifatkan momen itu sebagai titik terendah dalam hidup, Amaris atau nama sebenarnya, Amran Ismail, 39, enggan mengeluh atau meratap mengenangkan perkara itu.

Sebaliknya, Amaris yakin itu adalah ujian Tuhan dan reda apa yang berlaku dengan berlapang dada.

"Sebelum berkahwin, saya pernah diuji dengan masalah kewangan apabila tiada sesen duit dalam bank.

"Nak ambil duit, tapi tiada langsung wang dalam akaun. Ujian seterusnya berlaku selepas berkahwin dan ada anak.

"Ketika itu, anak, Putra Asytar nak minum susu, sedangkan duit dalam poket ada berbelas ringgit sahaja.

"Bangun tidur anak sebut 'daddy nak milk'. Selepas korek mana yang ada, dapatlah kumpul berbelas ringgit.

"Dengan jumlah sebanyak itu, mana nak cukup beli susu formula. Secara kebetulan, minyak kereta pula nak habis.

"Sudahnya saya jalan kaki ke kedai berhampiran dan beli beberapa kotak kecil susu segar sebagai ganti," katanya kepada BH Online.

Tyzo dan Putra Amaris pada majlis pelancaran Share Rezeki 2024: Amaris X Tyzo di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - NSTP/Sadiq Sani
Tyzo dan Putra Amaris pada majlis pelancaran Share Rezeki 2024: Amaris X Tyzo di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - NSTP/Sadiq Sani

Tambahnya, apa yang membuatkan hati tersentuh hingga menangis apabila anaknya senyap lepas minum susu.

"Putra Asytar langsung tak merengek walaupun saya tahu rasa susu formula takkan sama dengan susu kotak.

"Daripada kejadian itu, saya dapat rasakan betapa sukarnya hidup jika tidak punya apa-apa. Apabila Allah kurniakan rezeki dan tenaga, saya mula menubuhkan program amal, Share Rezeki pada 2020.

"Alhamdulillah pertubuhan itu masih bertahan hingga hari ini dan mendapat kepercayaan banyak pihak untuk tampil membantu," katanya.

Selain mendapatkan sumbangan pelbagai pihak, Amaris turut meluahkan hasrat berkongsi rezeki menerusi jualan beberapa aset milik ibunya, Allahyarham Hajar Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

"Selepas berbincang dengan keluarga, mungkin akan ada beberapa aset peninggalan arwah mahu dicairkan dan digunakan untuk tujuan infaq.

"Semoga usaha ini, pahalanya akan terus mengalir buat arwah ibu," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Share Rezeki 2024: Amaris X Tyzo di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Untuk tahun ini, pelakon Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu turut bekerjasama dengan penyampai radio, IKIMfm, Tyzo Xander mencari lebih ramai golongan asnaf dan rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.

"Saya mengalu-alukan lebih ramai orang perseorangan dan rakan artis untuk terbabit dalam program ini.

"Secara kebetulan, Tyzo juga ada menubuhkan program amalnya sendiri, Pertubuhan Kasih Tyzo. Memandangkan kami mempunyai misi sama, jadi mengapa tidak untuk kami bergabung sahaja," ujar penyanyi lagu Ini Janjiku ini.

Berita Harian X