Khamis, 14 March 2024 | 9:05pm
Khatijah berpendapat Pierre sesuai mengarahkan filem JPB2 kerana unsur mistik cukup dekat dengan jiwa anak sulungnya itu. - NSTP/Hazreen Mohamad
Khatijah berpendapat Pierre sesuai mengarahkan filem JPB2 kerana unsur mistik cukup dekat dengan jiwa anak sulungnya itu. - NSTP/Hazreen Mohamad

Pierre misteri, ada jiwa mistik - Khatijah Tan

KUALA LUMPUR: Biarpun memiliki pertalian darah, namun pelakon Khatijah Tan tidak mengetahui filem Jangan Pandang Belakang 2 (JPB2), diarahkan anaknya, Pierre Andre.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-46 di Korea Selatan menerusi filem Embun (2003) itu berkata, dia hanya mengetahui perkara itu daripada pihak produksi.

Katanya, mungkin Pierre ingin membuat kejutan, tetapi sebagai ibu, semestinya rasa seronok apabila dapat bekerjasama di bawah arahan anak sendiri.

"Saya ditawarkan naskhah ini sudah lama. Ketika itu, masih belum ada calon pengarah dan saya hanya mengetahui Pierre turut serta dalam produksi filem sebelum memulakan penggambaran.

"Bila dapat tahu, saya okay sahaja. Ini kerana pernah bekerja dengan Pierre dalam beberapa naskhah sebelum ini.

"Cuma, saya agak terkejut Pierre terima tawaran filem ini, sebab banyak tawaran ditolak sebelum ini.

"Pierre seorang yang misteri dan agak sukar dijangka, memang susah nak baca dan suka buat kejutan," kata Khatijah yang membawakan watak Mak Lang sama seperti sekuel pertama.

Antara babak Khatijah dalam filem JPB2 di Kajang, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Antara babak Khatijah dalam filem JPB2 di Kajang, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Tambah Khatijah, bukan ingin bersikap berat sebelah, tetapi Pierre sesuai mengarahkan filem JPB2 kerana unsur mistik cukup dekat dengan jiwa anak sulungnya itu.

"Saya bukan nak puji anak sendiri, tetapi sejujurnya saya sangat suka Pierre mengarahkan filem seram sebab alam itu memang sangat dekat dengan jiwanya.

"Dia seorang yang boleh rasa, jadi saya yakin Pierre boleh arahkan filem ini dengan baik sebab ada jiwa mistik," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem JPB2 di Kajang, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman sepanjang menjalani penggambaran filem, Khatijah berkata, kepalanya pernah diketuk ketika sedang tidur di set.

Selain itu, katanya, mereka juga pernah beberapa kali terhidu bau-bauan yang kurang menyenangkan.

Mengulas jarang muncul di kaca televisyen dan layar lebar, Khatijah mengakui, dia memang sangat selektif selepas lebih empat dekad bergelar anak seni.

"Saya suka benda mencabar minda, drama atau cerita biasa-biasa banyak yang ditolak seperti watak emak.

"Saya sukakan filem hantu sebab sukar nak dibawa. Macam filem ini banyak adegan saya dirasuk. Walaupun susah, tapi saya puas.

"Bila sudah 40 tahun dalam industri, saya sukakan watak yang lebih mencabar. Kalau setakat watak emak, sudah banyak kali saya bawa," katanya.

Berita Harian X