Khamis, 14 March 2024 | 6:27pm
Sophia bercadang untuk lebihkan masa bersama keluarga sebab sudah tiga tahun berkerja pada bulan puasa.
Sophia bercadang untuk lebihkan masa bersama keluarga sebab sudah tiga tahun berkerja pada bulan puasa.

Sophia sedih terkenang keadaan rakyat Palestin berpuasa

KUALA LUMPUR: Kedatangan Ramadan kali ini menyentuh hati pelakon Sophia Albarakbah apabila terkenangkan nasib rakyat Palestin yang sedang berdepan dengan kekejaman tentera Israel.

Sophia berkata, di sebalik kegembiraan meraikan Ramadan bersama keluarga tercinta dan menikmati juadah enak, terdetik dalam hati bagaimanakah keadaan rakyat Palestin menyambut ketibaan bulan mulia dalam keadaan kebuluran dan nyawa ibarat telur di hujung tanduk.

"Saya sedih mengenangkan keadaan rakyat Palestin yang menyambut Ramadan dalam keadaan daif.

"Bila berpuasa, ada ke makanan untuk berbuka? Sempatkah melalui Ramadan dan bagaimana menempuh Syawal.

"Semua itu amat pahit untuk difikirkan," katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan berkaitan, pelakon yang namanya mula meledak menerusi drama Suamiku Lelaki Pendosa itu menyifatkan Ramadan adalah bulan terbaik mencari keredaan Allah.

"Ramadan adalah masa muhasabah diri, meminta keampunan Allah, memperbaiki diri dan melahirkan rasa syukur atas nikmat hidup.

"Ia juga masa untuk menghulurkan sedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik," ungkap pemenang trofi Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini.

Menjadikan Ramadan sebagai masa untuk berehat, Sophia akan menggunakan peluang bercuti untuk bersama keluarga.

"Saya bercadang untuk lebihkan masa bersama keluarga sebab sudah tiga tahun berkerja pada bulan puasa.

"Fokus saya juga untuk beribadah, berbuka bersama keluarga dan menunaikan solat Tarawih bersama.

"Saya gemar memasak dan akan gunakan kaedah ini untuk lebih rapat dengan kakak dan adik perempuan yang memang suka ke dapur," cerita pelakon yang mula dikenali menerusi filem Miimaland ini.

Sementara itu, pelakon berdarah kacukan campuran Melayu, Cina dan Arab itu tampil dalam drama Lelaki Itu menerusi slot Akasia di TV3.

Sophia terdetik dalam hati bagaimanakah keadaan rakyat Palestin menyambut ketibaan bulan mulia dalam keadaan kebuluran dan nyawa ibarat telur di hujung tanduk. - NSTP/Nur Raihana Alia
Sophia terdetik dalam hati bagaimanakah keadaan rakyat Palestin menyambut ketibaan bulan mulia dalam keadaan kebuluran dan nyawa ibarat telur di hujung tanduk. - NSTP/Nur Raihana Alia

Berkongsi pengalaman berlakon dalam drama rantaian itu, Sophia meluahkan rasa teruja dan bertuah kerana dapat berlakon bersama bintang handalan tanah air.

"Bila pengurus bertanya adakah nak ambil 'job' ini, saya terus bersetuju kerana semua pelakonnya hebat belaka. Lagipun, saya belum pernah bekerja dengan Erma Fatima, jadi peluang ini tidak harus dilepaskan.

"Pada mulanya, watak diberikan kecil sahaja iaitu anak kepada Datuk Adi Putra dan Che Puan Sarimah Ibrahim bernama Sharifah Bahiyah.

"Bagaimanapun lama-kelamaan selepas melihat skrip yang ditulis Erma, watak saya semakin berkembang dan menjadi antara watak penting dalam drama ini kerana saya membawakan watak pendamai dalam setiap konflik atau krisis membabitkan keluarga," ujarnya.

Tambah Sophia, dia juga menjadikan lokasi penggambaran drama sebagai tempat menimba ilmu.

"Memandangkan semua pelakonnya hebat-hebat, saya sering mencuri peluang melihat bagaimana pelakon beraksi di hadapan kamera.

"Walaupun saya tiada babak, saya suka berada di set untuk melihat cara mereka bekerja demi menambahkan ilmu lakonan," tutur Sophia.

Berita Harian X