Khamis, 14 March 2024 | 3:01pm
Iqram dan Elly teraju utama filem Korsakoff yang mengangkat kisah penyakit yang difilemkan. - NSTP/Rohanis Shukri
Iqram dan Elly teraju utama filem Korsakoff yang mengangkat kisah penyakit yang difilemkan. - NSTP/Rohanis Shukri

Kisah penyakit Korsakoff difilemkan

KUALA LUMPUR: Sesuatu yang menarik apabila filem terbaharu terbitan syarikat produksi, D'Alpha Legacy, iaitu Korsakoff, dibikin bagi memberi maklumat mengenai penyakit di sebalik judul naskhah berkenaan.

Pengasas D'Alpha Legacy yang juga penulis skrip, Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor, berkata pihaknya mahu menonjolkan perkara sebenar di sebalik penyakit Korsakoff, iaitu simptom kekurangan vitamin B1 dan lebihan alkohol dalam badan melalui naskhah itu.

"Korsakoff antara subjek yang mungkin ramai tidak tahu. Jadi, saya mahu berkongsi kepada penonton melalui filem seperti ini.

"Kami mahu sampaikan apa sebenarnya Korsakoff untuk memberi kefahaman kepada penonton bahawa ada lagi penyakit yang perlu kita tahu.

"Menerusi filem ini juga, kami ketengah cara membantu orang di sekeliling yang mengalami keadaan itu. Walaupun penyakit ini jarang didengari, namun, wujud di kalangan kita.

"Saya mahu masyarakat faham mengenainya melalui medium yang menghiburkan dan mudah difahami seperti filem," katanya pada sidang media dan tayangan perdana filem Korsakoff di TGV Pavilion Bukit Jalil di ibu negara, baru-baru ini.

Justeru, Nur Aminahtul bersyukur apabila filem berkenaan berjaya meraih trofi Filem Psikologi Terbaik pada Festival Filem Dunia Cannes (CWFF) pada 2022, biarpun dibikin pada kos RM350,000 dengan penggambaran dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nur Aminahtul berkata, pengiktirafan diterima adalah hadiah bermakna buat kru produksi dan barisan pelakon yang bekerja dalam suasana penggambaran yang cukup mencabar.

"Kami mahu mesej yang diketengahkan dapat sampai kepada penonton. Jadi, produksi mengambil inisiatif untuk menyertai CWFF dan berjaya memenangi trofi Filem Psikologi Terbaik.

"Walaupun ini anugerah kecil, namun, saya fikir, itu adalah hasil usaha pelakon dan kru produksi yang sudah bertungkus lumus menjalani penggambaran ketika PKP.

"Ketika itu, penggambaran hanya dijalankan dalam bangunan. Tetapi barisan pelakon mampu memberi yang terbaik. Jadi, anugerah diterima adalah hadiah buat mereka," katanya.

Nur Aminahtul bersama barisan pelakon dan tenaga produksi pada sidang media dan tayangan perdana filem Korsakoff di TGV Pavilion Bukit Jalil di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Nur Aminahtul bersama barisan pelakon dan tenaga produksi pada sidang media dan tayangan perdana filem Korsakoff di TGV Pavilion Bukit Jalil di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Mengulas proses awal pembikinan filem Korsakoff, Nur Aminahtul berkata, idea tercetus daripada perbualan kosong sebelum dikembangkan menjadi naskhah filem.

"Kami hanya berbual kosong sesama sendiri dan berhasrat mengetengahkan kewujudan penyakit ini. Maka, terhasil sinopsisnya sebelum dikembang menjadi filem.

"Naskhah ini diilhamkan daripada kisah benar yang pernah berlaku dan ada hubung kait dengan penyakit Korsakoff yang kemudian dijadikan cerita imaginasi bersama.

"Proses penggambaran mengambil masa kira-kira 15 hari. Ia tidak termasuk sesi lakon layar yang memakan masa lebih empat bulan," katanya.

Filem Korsakoff arahan Opie Zamie yang dijadual ditayangkan di saluran Astro First bermula hari ini menampilkan barisan pelakon seperti Elly Arifin, Iqram Dinzly, Erra Fazira, Azhan Rani, dan Ning Baizura.

Naskhah berkenaan mengisahkan Jelita lakonan Elly yang mengalami amnesia selepas kemalangan dan mencuba untuk menyembuhkan kembali ingatannya.

Namun, tanpa disedari, ada agenda tersembunyi daripada pihak tertentu di sebalik kejadian itu.

Berita Harian X