Khamis, 14 March 2024 | 11:00am
Antara babak menarik dalam filem 19 Puasa Playboys of Plestik Hitam arahan Amen. - Foto IG Amen Khalid
Antara babak menarik dalam filem 19 Puasa Playboys of Plestik Hitam arahan Amen. - Foto IG Amen Khalid

Amen sayu siapkan filem francais 19 Puasa

KUALA LUMPUR: Pengarah Amen Khalid gagal menahan sebak ketika mengarahkan filem 19 Puasa Playboys of Plestik Hitam yang juga kesinambungan kepada karya popular arahan arwah bapanya, Allahyarham Mamat Khalid, yang menghembuskan nafas terakhir, tiga tahun lalu.

Berkongsi lanjut perkara itu, Amen memaklumkan perasaan sayu itu timbul kerana terkenangkan momen yang pernah dilalui bersama insan kesayangannya itu di set penggambaran.

"Ketika mengarahkan filem ini, ada rasa sayu. Saya pula sudah biasa berada di set dengannya sejak saya kecil.

"Justeru, apabila saya diberi tanggungjawab mengarahkan naskhah ini, perasaan jadi sebak.

"Saya juga hendak ucapkan terima kasih kepada pengarah, Mohd Latiff Zami atau Yeop Hitler kerana banyak bantu saya mencari idea untuk drama ini.

"Disebabkan sudah lama tidak mengarah, saya anggap filem 19 Puasa ini sebagai 'tribute' untuk karya francais arwah sebelum ini," katanya ditemui pada majlis tayangan perdana program Ramadan Astro 2024 di ibu negara, baru-baru ini.

Sutradara berusia 29 tahun itu turut memuji komitmen ditunjukkan pelakon sepanjang penggambaran berlangsung.

"Alhamdulillah, sangat mudah untuk berkerja dengan pelakon. Mereka beri kerjasama yang baik.

"Mereka layan saya seperti mereka bersama ayah dahulu," kongsi Amen yang pernah mengarahkan drama.

Amen memaklumkan perasaan sayu timbul kerana terkenangkan momen yang pernah dilalui bersama arwah bapanya di set penggambaran. - Foto IG Amen Khalid
Amen memaklumkan perasaan sayu timbul kerana terkenangkan momen yang pernah dilalui bersama arwah bapanya di set penggambaran. - Foto IG Amen Khalid

Meskipun berdepan cabaran menyiapkan naskhah yang menampilkan pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 iaitu Bell Ngasri, Amen bersyukur kerana banyak pihak sudi membantunya.

"Selepas papa meninggal, memang saya ambil masa untuk kumpul semangat untuk mengarahkan naskhah ini. Dua tahun saya kumpul kekuatan untuk hilangkan rasa sedih.

"Tidak dapat dinafikan apabila kembali ke kerusi sutradara, agak sukar. Saya bersyukur kerana semua kawan papa banyak membantu.

"Pelakon juga beri kerjasama yang baik di set. Mereka layan saya seperti mereka bersama ayah dahulu," katanya.

Ditanya adakah masih ada amanah arwah bapanya itu yang belum dapat ditunaikan, Amen berkata, arwah bapanya teringin menghasilkan filem epik.

"Ada banyak tapi salah satu daripadanya adalah untuk menghasilkan filem epik. Arwah suka dengan filem genre itu.

"Buat masa ini, saya belum bersedia untuk mengarahkan filem epik. Mungkin ambil tempoh antara tiga hingga empat tahun lagi. Sebelum itu, kenalah buat kaji selidik dahulu," katanya.

Berita Harian X