Isnin, 11 March 2024 | 2:04pm
Robert Downey Jr menyifatkan kemenangan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik adalah hasil pengalaman mengerikan yang dilalui ketika kecil. - Foto AGENSI
Robert Downey Jr menyifatkan kemenangan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik adalah hasil pengalaman mengerikan yang dilalui ketika kecil. - Foto AGENSI

Robert Downey Jr kali pertama menang Oscar

LOS ANGELES: Aktor yang terkenal dengan watak Iron Man, Robert Downey Jr melakar sejarah peribadi apabila mengungguli trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Academy (Oscar) Ke-96 menerusi filem Oppenheimer di Dolby Theatre, di sini, hari ini.

Memegang watak Lewis Strauss, ini adalah kemenangan pertama Downey Jr untuk acara anugerah berprestij berkenaan sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan dan pernah tiga kali menerima pencalonan.

Dengan kemenangannya itu, Downey Jr mengenepikan saingan terdekatnya iaitu Sterling K Brown, Ryan Gosling, Mark Ruffalo dan pelakon senior, Robert De Niro.

Ketika berucap, Downey Jr menyifatkan kemenangannya adalah hasil pengalaman mengerikan yang dilalui ketika kecil.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Oscar dan juga untuk masa kecilku yang mengerikan," ungkapnya.

Acara penyerahan trofi itu menjadi lebih bermakna buat aktor kacak itu apabila disampaikan oleh gandingannya dalam filem Iron Man 2, Sam Rockwell.

Pada ucapan sama, Downey Jr turut merakamkan penghargaan buat isteri dan rakan produksi filem itu.

"Apa yang kami lakukan ini sangat bermakna, manakala hal yang diputuskan adalah perkara sangat penting," katanya lagi. - AGENSI

Berita Harian X