Isnin, 11 March 2024 | 1:26pm
Abby tidak mengetahui bila Marissa kembali menjalin hubungan dengan Aslam dan tak menyangka percintaan mereka sedalam itu sehingga berani bernikah di Thailand tanpa pengetahuan keluarga.
Abby tidak mengetahui bila Marissa kembali menjalin hubungan dengan Aslam dan tak menyangka percintaan mereka sedalam itu sehingga berani bernikah di Thailand tanpa pengetahuan keluarga.

Marissa buat keputusan salah, boleh dapat jodoh lebih baik - Abby

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi mendedahkan pernah berjumpa Mohd Aslam dua kali di sekolah rendah dan menengah bersekolah sama dengan anaknya, Marissa Dania Hakim.

Bagaimanapun, Abby tidak mengetahui bila anak keduanya kembali menjalin hubungan dengan Aslam, malah tidak menyangka percintaan mereka sedalam itu sehingga berani membuat keputusan bernikah di Songkhla, Thailand tanpa pengetahuan keluarga.

Biarpun pasangan itu heboh dikatakan sudah bernikah pada 27 Disember lalu, Abby mendakwa, tidak mengetahui memiliki menantu kerana perkara itu masih belum jelas dan tiada dalam kamus hidupnya.

"Saya tak pernah letak diri sudah ada menantu. Sebab benda tak nampak dan tiada depan mata.

"Saya mahu nikah itu sahih, bagi ada bukti jelas. Sekiranya betul, saya harap mereka jalani kehidupan sebaiknya.

"Bukan tak terima kenyataan, saya bersyukur anak-anak sudah ada kaki berusaha sendiri.

"Apa keadaan pun, terus berpegang pada tali Allah, jangan sampai ketepikan mak ayah," katanya pada temu bual podcast GVV Studio kendalian Datin Rebecca Nur Al-Islam.

Ketika ditanya perasaan mengetahui Marissa bernikah tanpa pengetahuan keluarga, Abby berkata, dia tergamam dan apa yang berlaku langsung tak terjangkau dek akalnya.

Abby mengakui terkilan keputusan anaknya kerana Marissa buat keputusan salah, sedangkan boleh dapat jodoh lebih baik.

"Saya rasa ralat, benda ada pilihan. Anak saya sepatutnya boleh cari orang yang lebih baik, bukan suami orang.

"Dia sepatutnya boleh berseronok dengan suami sendiri, tapi ada orang suka berkongsi. Tak tau nak cakap.

"Saya tak pasti apa yang buatkan mereka seberani ini, cinta mungkin membutakan mata anak saya.

"Dia (Marissa) macam tak nak dengar pendapat orang lain. Mungkin nampak benda itu terbaik untuknya, tapi segalanya masih samar-samar.

"Saya rasa dia ikut bapa (Norman Hakim), masa Norman kahwin dengan Memey Suhaiza saya tak tahu.

"Sedih tentu sedih sebab di luar jangkaan, tapi lebih kepada terkejut. Tak jangka langsung dan luar akal fikiran, mungkin antara sebab dia tak nampak benda itu satu kesalahan sebab nampak contoh depan mata.

"Jadi, Marissa rasa tak salah. Banyak kemungkinan, dia punya pelanggaran tragis sangat.

"Kalau orang tanya nak buat macam mana, saya pun tak tahu, pukul takkan menyelesaikan masalah. Saya rasa banyak kelemahan kepada ibu bapa," jelas Abby.

Abby berkata, dia ada menasihatkan Marissa supaya mendaftar nikah sekiranya benar sudah berkahwin dengan Aslam, tetapi Marissa memberitahu akan segera melakukannya.

Katanya, apa yang menyebabkan perbincangan bersama Marissa sukar dilakukan kerana anaknya melarikan diri, tetapi tahu anaknya dalam keadaan selamat.

"Selepas kejadian, saya memang langsung tak jumpa Marissa. Sekali itu sahajalah di sebuah hotel, baru-baru ini.

"Sekarang kami tak jumpa lagi, jadi saya memang tak sempat nak bercakap," katanya.

Berita Harian X