Isnin, 11 March 2024 | 11:00am
Penganjuran Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur rentetan kejayaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), tahun lalu. Foto NSTP
Penganjuran Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur rentetan kejayaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), tahun lalu. Foto NSTP

New Boyz rai ulang tahun ke-25 dengan konsert di KLCC

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-25, kumpulan popular era 1990-an, New Boyz bakal mementaskan konsert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 Julai depan.

Penganjuran Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur rentetan kejayaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), tahun lalu.

Pemilihan lokasi lebih besar kali ini bagi memastikan lebih ramai peminat kumpulan dianggotai Tomok, Jay, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe dapat berhibur bersama mereka.

Sejak jualan dibuka minggu lalu, lebih 60 peratus tiket berjaya dijual.

Vokalis New Boyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 40, berkata penganjuran konsert ini hadiah buat peminat yang menjadi tulang belakang sepanjang 25 tahun New Boyz bertapak dalam industri muzik.

"Alhamdulillah walaupun jualan tiket baru dibuka, tapi lebih 60 peratus sudah terjual.

"Penganjuran konsert kali ini disebabkan sambutan luar biasa konsert tahun lalu yang diadakan selama dua hari.

"Melihat kegembiraan dan reaksi positif membuatkan kami lebih bersemangat menganjurkan

Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur dengan memilih lokasi lebih besar, iaitu di Dewan Plenari, KLCC," katanya.

Tomok berkata, kejayaan konsert tahun lalu membuktikan peminat New Boyz masih utuh menyokong mereka.

"'Comeback' kami diterima dengan sangat baik dan konsert kali ini adalah hadiah kepada peminat yang menghargai New Boyz.

"Kami berharap konsert ini juga dapat mengubat kerinduan peminat terhadap lagu New Boyz," katanya.

New Boyz yang pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat remaja ditubuhkan pada 1999 dan bergiat aktif sehingga 2007.

Berita Harian X