Ahad, 10 March 2024 | 1:31pm
Siti bergambar bersama keluarga dari Portugal yang ‘terbang’ ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi. Foto Ihsan Siti Nurhaliza
Siti bergambar bersama keluarga dari Portugal yang ‘terbang’ ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi. Foto Ihsan Siti Nurhaliza

Peminat 'terbang' dari Portugal tengok konsert Siti

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza terharu Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi, turut disaksikan peminat setia yang sanggup 'terbang' dari Portugal.

Lebih membuatkan Siti tersentuh apabila mendapat tahu peminat istimewa berkenaan, iaitu keluarga kecil berbangsa Portugis, gigih 'berjuang'dengan ribuan penyokong lain bagi mendapatkan tiket konsert.

"Selain peminat tempatan, konsert ini dihadiri penyokong dari Singapura, Indonesia dan Brunei. Saya juga diberitahu ada peminat dari Portugal datang malam ini bersama isteri dan anak perempuannya.

Siti menghiburkan hampir 12,000 penonton yang membanjiri Axiata Arena dengan lebih 30 lagu termasuk medley. Foto NSTP Asyraf Hamzah
Siti menghiburkan hampir 12,000 penonton yang membanjiri Axiata Arena dengan lebih 30 lagu termasuk medley. Foto NSTP Asyraf Hamzah

"Seperti peminat lain, dia sanggup 'berjuang' di hadapan komputer demi mendapatkan tiket. Kami sudah lama tidak berjumpa. Ketika mula berkenalan, anaknya kecil lagi. Sekarang, anak perempuannya hafal semua lagu saya," katanya di pentas.

Sebaik ternampak kelibat keluarga dari Portugal itu yang duduk pada sebelah kanan pentas, Siti atau nama penuh, Siti Nurhaliza Tarudin, 45, sempat bertanya khabar dan berbual kecil dengan keluarga terbabit. Mereka dilihat mengibar bendera Portugal sambil menonton aksi Siti.

Sementara itu, Siti mengaku terkejut melihat sambutan penonton terhadap Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza berkonsep amal yang dijayakannya itu.

"Selepas empat tahun menjayakan Konsert Siti Nurhaliza On Tour (SNOT), saya kembali ke sini (Axiata Arena).

"Imbas kembali ketika konsert ini diumumkan, saya takut dan berdebar serta tertanya-tanya ada orang hendak tengok konsert saya? Masih sayangkah kalian kepada saya?

"Anda buat saya terkejut apabila semua tiket 'licin' dalam tempoh dua jam," katanya sambil disambut tepukan gemuruh penonton.

Memulakan persembahan dengan lagu Lebih Indah, Siti menghiburkan hampir 12,000 peminat yang membanjiri Axiata Arena dengan lebih 30 lagu termasuk medley.

Konsert Siti menyajikan lima segmen iaitu Mimpi Ke Awan, Surat Harapan, Mega Karaoke, Bayu Timur dan Judika Solo yang menjadi elemen kejutan daripada penyanyi Indonesia itu.

Antara lagu yang didendang Siti adalah Purnama Merindu, 7 Nasihat, Kesilapanku Keegoanmu, Sehebat Matahari, Menjaga Cintamu, Romansa Kita, Oda Di Bumi Anbia, Kurniaan Dalam Kesamaran, Bukan Cinta Biasa dan Aku Bidadari Syurgamu.

Lagu lain Salju Kasihnya, Usah Diragui, Debaran Cintamu, Sempadan serta koleksi lagu tradisional seperti Mahligai Permata, Joget Senyum Memikat, Cindai dan banyak lagi.

Disebabkan ketiadaan Datuk Awie yang terikat dengan komitmen lain, Siti mengundang secara spontan penyanyi vokal mantap, Syamel, untuk berpadu suara dengannya menyampaikan lagu Kalau Berkasih.

Berita Harian X