Ahad, 10 March 2024 | 9:45am
Aman menghormati isterinya, Reena yang kurang selesa dia menjayakan watak membabitkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita. Foto IG Reena Arina
Aman menghormati isterinya, Reena yang kurang selesa dia menjayakan watak membabitkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita. Foto IG Reena Arina

Aman Graseka pilih watak sesuai dengan proses penghijrahan

KUALA LUMPUR: Aman Graseka mengakui masih mahu berlakon, namun, memilih 'job' yang sesuai dengan fasa penghijrahannya sebagai insan lebih baik.

Aman atau nama sebenar, Aman Shah Baharom Shah menghormati isterinya, Reena Arina yang kurang selesa dia menjayakan watak membabitkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita.

"Saya dalam proses perubahan. Pada fasa ini, jika isteri cakap tidak boleh pegang, saya kena terimalah. Tetapi bukanlah Reena tidak bagi saya berlakon, sebaliknya, saya dalam proses perubahan. Umur sudah tua janggut pun sudah putih.

"Anak-anak sedang membesar dan mereka lihat kita sebagai contoh. Jadi, pastinya, saya mahu memaparkan contoh baik kepada mereka.

"Iya, saya masih berlakon dan banyak terima tawaran. Selain itu, saya buat reviu produk dan berniaga," katanya kepada BH Online.

Aman mengaku pada usia 56 tahun, kurang manis jika dia melakonkan babak bersentuhan dengan aktres bukan muhrim.

"Saya tak mahu berpegangan dengan bukan muhrim. Duduk sekatil dengan pelakon perempuan pun saya tidak mahu. Baru-baru ini, saya dapat tawaran berlakon filem, namun, saya tolak kerana tidak sesuai.

"Saya tahu semua ini dugaan dari Tuhan. Kita dalam proses perubahan dan Allah mesti uji kita dengan cara begini," katanya.

Berikutan itu, Aman menyerahkan soal rundingan tawaran berlakon kepada isterinya.

"Saya bagi semua orang berbincang dengan Reena. Dia yang beritahu apa yang patut atau sama ada babak pegang-pegang boleh atau tidak," katanya.

Selepas 15 tahun hidup bersendirian, Aman berkahwin dengan model dan pelakon baharu, Reena pada 2018. Aman dan Reena dikurniakan dua anak lelaki.

Aman pernah mendirikan rumah tangga dengan Mas Idayu pada 1997, namun, berpisah pada 2006. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nurdayini Ashiqah.

Berita Harian X